Umno sahkan saman dua bekas MP keluar parti

Umno sahkan saman dua bekas MP keluar parti

Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan parti itu telah menghantar notis tuntutan saman kepada dua bekas Ahli Parlimen nya yang keluar parti.

Notis tuntutan saman itu diserahkan kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

“Peguam-peguam kita telah menghantar writ saman kepada mereka,” katanya, ditemui di program makan malam santai bersama belia, di Tanah Rata,Cameron Highland semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada sudah memulakan tindakan undang-undang terhadap bekas Ahli Parlimennya yang keluar parti.

Mas Ermieyati dan Noor Azmi merupakan antara Ahli Parlimen yang terawal meninggalkan Umno.Mereka menjadi Ahli Parlimen Bebas selama beberapa bulan sebelum menyertai Bersatu.

Ditanya mengenai kemungkinan enam lagi bekas Ahli Parlimen Umno akan kembali menyertai parti itu, Annuar berkata, tiada maklumat rasmi setakat ini.

“Kalau nak pengesahan elok tanya mereka yang berkenaan dahulu. Buat masa ini walaupun ada dibincangkan tapi tiada keputusan yang khusus mengenainya.

“Borang nak masuk Umno belum sampai di meja saya walaupun saya ada dengar khabar begitu.” katanya seperti dipetik Sinarharianonline.

Bagaimanapun, menurut Ahli Parlimen Ketereh itu, Umno parti terbuka dan tidak pernah memusuhi bekas ahlinya.

“Kita memahami situasi dilalui kawan-kawan kita yang menyebabkan mereka membuat keputusan tertentu. Tetapi mereka semua kawan-kawan kita, kita kekalkan hubungan peribadi yang baik dengan mereka.

“Jadi kalau mereka berubah fikiran, itu satu perkara yang boleh kita bincangkan. Tidak sampai berpatah arang berkerat rotan,”katanya.

Sebelum ini, tersebar spekulasi enam ahli Parlimen yang keluar Umno berhasrat menyertai semula parti.Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Selain dikatakan permohonan mereka untuk menyertai Bersatu ditolak, mereka juga menerima tekanan berdepan tindakan saman daripada Umno.