Malaysia Dateline

Warisan boleh hancur jika Mahathir sertainya, MT Umno beri amaran

Cadangan agar Tun Dr Mahathir Mohamad menyertai Warisan sangat tidak disenangi oleh Umno sehingga Anggota Majlis Tertinggi parti itu memberikan amaran bahawa Warisan boleh hancur jika menerima bekas Perdana Menteri itu sebagai ahli mereka.

“Bersediakah Warisan terima Mahathir sebagai ahli. Tun adalah ‘trouble maker’ dan pemecah belah,” kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi.

Bagi Puad, setelah merosakkan Pakatan Harapan (PH), Tun Mahathir selepas ini akan menjadikan Warisan sebagai mangsa seterusnya.

“Setelah rosakkan PH, Warisan mangsa seterusnya,” kata Puad memberikan amaran kepada Warisan melalui facebook beliau.

Katanya, Warisan adalah “Sabah based party”.

“Baguslah kalau boleh terima Mahathir. Tapi Tun M mesti mahu jadi ketua. Mana boleh dia duduk di bawah.

“Silap haribulan, sebelum sempat dia jadi ahli, Warisan Sabah sudah tumbang. Warisan adalah kerajaan pintu belakang,” kata bekas Ketua Pengarah Jasa, badan yang menjadi badan propaganda kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Warisan sedia pertimbang penyertaan Mahathir

DATUK LIEW VUI KEONG

Sebelum ini, media melaporkan, Warisan sedia mempertimbangkan untuk mengubah perlembagaan parti itu sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad berhasrat menyertai mereka.

Pengerusi Tetap Warisan, Datuk Liew Vui Keong berkata, penyertaan bekas Perdana Menteri itu dalam Warisan berkemungkinan boleh berlaku.

Bagaimanapun katanya, jika perkara itu berlaku, perlembagaan parti tersebut perlu diubah terlebih dahulu.

“Setakat ini parti Warisan hanya tertumpu kepada negeri Sabah tetapi perlembagaan boleh ditukar untuk menjadikannya Parti Warisan Malaysia.

“Sekiranya ada ahli Parlimen lain yang ingin bersama-sama dengan perjuangan Warisan, saya rasa kita boleh mempertimbangkan perkara ini kepada parti,” katanya ketika ditemui dalam lawatan kerja di Kampung Sirabut.

Sebelum ini, ada pihak mencadangkan Ahli Parlimen Langkawi yang mencalonkan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri itu menyertai parti berkenaan.

Terdahulu, pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengumumkan berada di blok Bebas dan mengumumkan menyokong Warisan.

Bersama-sama Dr Mahathir empat lagi ahli Parlimen lain ialah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Seri Gading, Datuk Dr Sharuddin Md Salleh.