Umno Selangor kemukakan enam pilihan calon pada PRK Dun Semenyih

Umno Selangor kemukakan enam pilihan calon pada PRK Dun Semenyih

Umno Selangor telah mencadangkan enam nama kepada ibu pejabat parti untuk diteliti dan dipilih sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih pada 2 Mac ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, enam nama itu dipilih dalam kalangan bahagian, Pergerakan Wanita, Pemuda dan golongan profesional.

“Hari ini Umno negeri bersama Pas Selangor telah mengadakan mesyuarat khas membincangkan gerak kerja kita untuk menghadapi PRK Dun Semenyih.

“Dalam mesyuarat ini, kita cadangan enam nama kepada ibupejabat parti untuk pemilihan.

“Calon dipilih bukan berdasarkan kepada jawatan dalam umno bahagian tetapi berdasarkan calon yang boleh diterima rakyat dan mempunyai potensi besar untuk menang.

“Kita juga telah bersetuju sayap parti akan bekerjasama dalam menjalankan gerak kerja pilihan raya.” ujarnya.

Manakala Pesuruhjaya Pas Selangor Sallehen Mukhyi berkata Pas akan pastikan undi yang diperolehi calonnya, Mad Shahmour Mad Kosim pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu berpindah kepada calon Umno.

Katanya, pada PRU itu, calon Pas mendapat 6,966 undi dan ditambah lagi dengan kira-kira 20 peratus undi baharu yang akan dicari oleh jentera Pas menerusi kempen secara menyeluruh sepanjang kempen ini.

“Fokus kita ialah dapatkan semua 6,966 undi dan akan cari tambahan 20 peratus lagi dalam kalangan pengundi Pas. Kita mahu mereka mengundi calon Umno.

“Kita yakin Umno boleh menang pada PRK ini berdasarkan konflik dan krisis yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak mengambil alih kerajaan Persekutuan pada 10 Mei lalu,” katanya pada sidang media bersama Pengerusi Umno Selangor di Bangunan Umno Negeri, di Shah Alam hari ini.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz yang tewas pada PRU14 lalu ditangan calon PH Allahyarham Mohd Bakhtiar Mohd Noor.

Beliau berkata akan memberi laluan kepada calon lain dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada PRK Semenyih.

“Keputusan itu disuarakan kepada pucuk pimpinan negeri, hari ini Umno Selangor bermesyuarat dan menyenaraikan enam nama calon untuk dipilih oleh Umno pusat,” katanya yangtelah bermesyuarat dengan kepimpinan Umno Bahagian itu dua hari lalu dan menyatakan hasratnya itu untuk tidak bertanding.

PRK Dun Semenyih  diadakan berikutan kematian Mohd Bakhtiar akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu.