Umno Selangor sedia buka pintu Mohd Khir kembali aktif

Umno Selangor sedia buka pintu Mohd Khir kembali aktif

 

 

 

 

 

 

Umno Selangor sedia membuka pintu kepada bekas menteri besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo untuk kembali aktif dalam politik di negeri itu.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Datuk Mat Nazari Ahmad DahlanUmno Selangor sedia membuka pintu kepada bekas menteri besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo untuk kembali aktif dalam politik di negeri itu.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Datuk Mat Nazari Ahmad Dahlan berkata, jika tidak bertentangan dengan perlembagaan parti tidak menjadi halangan mana-mana bekas pemimpin Umno yang dipenjarakan untuk bergiat aktif semula dalam parti.

“ Kita kena tengok perlembagaan parti terlebih dulu. Kita sudah tentu tiada halangan jika perlembagaan membenarkan, tidak ada masalah untuk menerima beliau dan aktif kembali di persada politik,” ujarnya.

Mengulas sama ada pemimpin Umno di negeri itu akan mengadakan pertemuan dengan bekas Adun Sungai Panjang itu, dimaklumkan belum ada perancangan dibuat sejak tersebar berita Mohd Khir diberikan parol oleh Jabatan Penjara Malaysia semalam.

“Sebagai kawan, sahabat dan orang kampung kita, kita tidak seharusnya mendendanya lagi. Kita sambut kepulangannya seperti manusia lain. Sebelum ini kesalahan beliau terkait dengan kesalahan peribadi yang dilakukan, ia sama sekali tidak terkait dengan Umno,” ujar Adun Batang Kali ini menjawab pertanyaan Malaysia Dateline di lobi Dewan Undangan Negeri hari ini.

Ditanya kemungkinan ada pihak yang akan mengaitkan parol Mohd Khir dalam isu membabitkan banglo milik Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Mat Nazari berkata keputusan ahli lembaga parol memberikan kebebasan kepada Mohd Khir adalah dua perkara yang berbeza.

“ Ahli Lembaga Parol mempunyai autoriti dan justifikasi sendiri mengapa mereka memberikan beliau parol selepas enam bulan dipenjarakan.

“ Kita tidak terkejut dengan parol yang diberikan kerana sudah tentu akan ada pihak yang mengaitkan isu parol Mohd Khir ini dengan banglo Lim Guan Eng kerana isunya lebih kurang sama, isu itu pula sedang hangat didebatkan hari ini.” ujar beliau.

Mat Nazari juga menepis pandangan kemungkinan ada pihak yang akan mendesak Mohd Khir untuk menyertai Deklarasi Rakyat yang diketuai Tun Mahathir Mohamad. Ini kerana Mahathir ketika melantik Mohd Khir sebagai Menteri Besar Selangor, pernah mengatakan bekas doktor gigi itu adalah pemimpin muda yang bersih.

“Setakat ini kita tidak dengar lagi khabar angin, ada pihak atau beliau akan bertindak sebegitu. Apa yang terjadi kepada beliau itu antara beliau dan undang-undang bukan berkaitan parti.

“Kita tidak menghalang apapun keputusan beliau sama ada menyokong atau tidak deklarasi itu,” ujarnya.

Semalam, Ahli Lembaga Parol bersetuju meluluskan permohonan peguam Mohd Khir  untuk diberikan parol selepas beliau menjalani hukuman di Penjara Kajang selama 6 bulan.

Banduan yang diberikan parol akan menjalani baki hukuman di luar penjara di bawah pengawasan pegawai Parol untuk tinggal bersama keluarga.

Jabatan Penjara Malaysia dalam satu kenyataan media hari ini menjelaskan, Mohd Khir bukan sahaja menerima parol, malah  turut mendapat remitan atau pelepasan hukuman penjara selama empat bulan. Mohd Khir menerima remitan itu selepas jabatan berkenaan berpuashati dengan tahap pemulihan beliau ketika menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Mohamad Khir sebelum ini disabitkan atas pertuduhan menyalah guna kuasa sebagai penjawat awam bagi memperoleh dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam bernilai RM6.5 juta pada harga RM3.5 juta pada 2007 untuk dirinya dan isteri.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman 12 bulan penjara sabitan terhadap Mohamad Khir. Yang didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Seksyen 7 Shah Alam pada 29 Mei 2007.

TAGS