Malaysia Dateline

Umno sendiri gugat kestabilan politik

Seketika dahulu kita cuba diyakinkan bahawa Langkah Sheraton diperlukan untuk menjamin “kestabilan politik”. Antara hujahnya, seandainya Malaysia mahu terus mara dan maju, kestabilan politik diperlukan; dan mustahil kestabilan tercapai seandainya majoriti populasi diselubungi kegusaran dan keresahan.

Teori ini ada kebenarannya. Dengan naratif yang dibina sepanjang tempoh 22 bulan Pakatan Harapan memerintah, tidak sukar untuk kita membayangkan reaksi masyarakat ketika kerajaan mengambil langkah tertentu.

Misalnya, jikalau Mujahid Yusof Rawa masih menyandang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sudah tentu beliau akan direjam dengan maki hamun seandainya SOP solat Jumaat diumumkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Untuk itu kita menarik nafas lega kerana SOP sebegini tidak mengundang tentangan hebat daripada masyarakat Muslim khususnya, kerana mereka akur bahawa Perikatan Nasional adalah kerajaan yang berteraskan Melayu-Islam.

Situasi ini memberi laluan kepada usaha untuk mengawal penularan wabak Covid-19 secara lebih berkesan. Suka atau tidak, inilah realitinya apabila psikologi masyarakat dimanipulasikan sedemikian rupa.
Jadi, biarpun tidak merestui kaedah PN merampas kuasa, kebanyakan kita terpaksa reda.

Apa tidaknya? Kabinet PN bukan sahaja ditubuhkan tiga parti Melayu-Muslim terbesar di Malaysia, tetapi juga dianggotai agamawan yang disanjung tinggi dalam masyarakat Muslim, malah direstui mufti yang berpengaruh.

Sehingga kadang kala kita cuak untuk menegur apabila menteri agama memakai pelitup muka dengan cara yang salah. Silap-silap kita pula yang dituduh menghina Islam, atau tidak menghormati agamawan kerana melontarkan kritikan.

Kita bertoleransi pada tahap dewa dengan kecelaruan dan kekeliruan yang timbul lantaran SOP yang diumumkan di bawah pemerintahan PN; kita sekadar meluahkan kemarahan di media sosial terhadap amalan “double standard” di bawah pemerintahan PN, di mana rakyat jelata dikompaun sehingga RM10,000, tetapi menteri tetap kebal sungguhpun secara terang-terang melanggar SOP.

Semuanya atas nama mengekalkan “kestabilan”, agar Malaysia terus maju. Atau setidak-tidaknya, mengelakkan padah yang lebih besar kerana kita sedang berdepan dengan ancaman wabak Covid-19.

Sebarang perubahan mendadak, boleh menjerumuskan Malaysia ke dalam kancah krisis yang genting, kononnya. Akhirnya kita sedar diri kita tertipu. Retorik “kestabilan politik” berkecai apabila Umno sendiri mengugut untuk menjatuhkan kerajaan PN.

Disusuli dengan ugutan balas bahawa kerajaan negeri Johor juga boleh tumbang andainya PPBM menarik balik sokongan terhadap Umno. Tiada lagi retorik “perbezaan harus diketepikan buat sementara agar kita fokus menangani Covid-19”.

Yang ada pertelingkahan orang tua yang bersifat kebudak-budakan. Maka kita pun terpinga-pinga. Bukankah kerajaan PN ditubuhkan atas laungan slogan “Perpaduan Ummah”, menjaja retorik bahawa rampasan kuasa ini diperlukan untuk menjamin kestabilan, sungguhpun ia terang-terang satu pengkhianatan terhadap mandat rakyat yang mengundi calon PPBM/PKR atas nama Pakatan Harapan dalam PRU14?

Mengapa sekarang Perhimpunan Agung Umno dijadikan sebagai gelanggang untuk menyerang PPBM? Mengapa pemimpin Umno menggelar rakan sekutunya, Pas sebagai pelacur politik?

Mengapa ketiga-tiga parti ini gagal bergabung, sebaliknya berlaku curi-mencuri ahli antara parti, untuk memperkukuhkan parti masing-masing?

Apa terjadi kepada slogan demi nusa, bangsa dan agama? Apakah Melayu tidak lagi takut Cina tepuk tangan ketika mereka bergaduh sesama sendiri?

Dan apakah pula nasib Melayu di atas bumi ini, setelah DAP tersingkir dari Putrajaya? Apakah perancangan kerajaan untuk mempersiap-siagakan generasi muda agar berdepan dengan zaman Revolusi Industri 4.0, di mana Artificial Intelligence (AI) akan menggantikan tenaga kerja manusia?

Atau, kalau tiada pelan jangka panjang pun. Bagaimana Kementerian Pendidikan Malaysia menyelesaikan masalah pendidikan yang terpampang di depan mata yang semakin meruncing sejak ditimpa kesan Covid-19?

Bagaimana dengan pelajar yang tercicir sepanjang proses PPDR (Pengajaran dan Pembelajaran Dari Rumah)? Apakah pelajar yang ketinggalan akan terus dilonjakkan apabila Umno kembali mendominasi kerajaan? Tiada.

Lagi sedih apabila Umno yang dihukum rakyat pada PRU14, mahu bangkit semula tanpa wacana yang segar dan imej yang baru.

Di manakah agenda banteras rasuah? Apakah mereka benar mahu mencalonkan presiden yang diheret ke mahkamah dengan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram, sebagai Perdana Menteri kesembilan?

Mungkin tiba masanya, kita sedar bahawa kestabilan tidak datang dengan mitos perpaduan ummah atau kaum tertentu. Malah mungkin kita harus mengiktiraf jasa DAP, kerana sejahat-jahat DAP, parti inilah yang telah menyatukan Umno-Pas-PPBM sebelum Mac 2020.

Apabila DAP tersingkir dari Putrajaya, maka terjadilah apa yang berlaku sekarang. Wajar kita sedar, bahawa kestabilan datang apabila pemimpin politik menyedari kekuatan dirinya, dan sanggup berlapang dada untuk merangkumi kekuatan pihak lain, agar kekuatan bersama terbina, lantas kestabilan tercapai.

Mereka tidak membolot semua ketika berkuasa, mereka tidak merampas setelah hilang kuasa. Mereka akur dengan etika dan peraturan-peraturan yang sedia ada dalam sistem demokrasi. Mereka menunggu mandat baru daripada rakyat apabila tiba masanya.

Rakyat harus memberi pengajaran kepada politikus yang tidak memahami teori ini.