Malaysia Dateline

Umno serang PN kerana mahukan PRU

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menganggap Umno sebagai munafik kerana kritikan yang dilemparkan parti itu terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) jelas bukan bertujuan memperbaiki kegagalan pemerintahan.

Sebaliknya beliau mendakwa, Umno hanya mahu mendesak dan memaksa agar pilihanraya diadakan lebih awal.

Katanya, Umno juga sengaja melancarkan serangan terhadap prestasi buruk PN tetapi masih memilih untuk kekal dalam jawatan Menteri mereka.

“Umno seolah-olah berperanan sebagai pembangkang yang mengkritik pemerintahan mereka sendiri tetapi tetap memegang jawatan dalam kerajaan.

“Sekiranya Umno adalah parti yang berprinsip, mereka pasti sudah meninggalkan kerajaan atau Muhyiddin akan memecat Menteri Umno dari kerajaannya kerana ketidakpatuhan mereka.

“Namun hakikatnya, Umno kekal dalam kerajaan kerana Muhyiddin telah kehilangan majoriti dan memerlukan Umno untuk mengekalkan pegangan kuasanya yang lemah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Guan Eng menegaskan, ketika ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh Kabinetnya harus bertanggungjawab terhadap ketidak kawalan gelombang Covid-19 dan kelewatan kerajaan mendapatkan vaksin.

Menurutnya, kegagalan kerajaan membeli vaksin lebih awal tidak dapat dimaafkan dan boleh menyebabkan lebih banyak nyawa yang melayang.

“Alasan bahawa Malaysia tidak dapat membayar sejumlah wang sebanyak RM2.1 bilion untuk membeli vaksin yang sangat diperlukan, tidak dapat diterima.

“Adakah Muhyiddin akan terus berdiam diri dan tidak akan bertanggungjawab atas kegagalan Kabinetnya, ketika dia sendiri pernah menuntut kredit kerana menguruskan krisis Covid-19 dengan baik?,” soalnya.