Malaysia Dateline

“Tak ada ke yang berani”? Umno sila jawab ini…

Tidak adakah sesiapa di dalam Umno yang berani mengatakan ‘Umno tidak patut berusaha untuk mengembalikan Najib sebagai seorang perdana menteri’ dan berani mengatakan ‘zaman pemerintahan Najib di mana Malaysia menjadi negara kleptokrasi terburuk bukanlah satu perkara yang patut dibanggakan’?

Semalam saya katakan yang Malaysia memerlukan aspirasi politik baharu dan sekiranya Najib menyayangi Malaysia, beliau akan menyumbang kepada proses mengembalikan Malaysia kepada prinsip asas pembinaan negara yang telah dipersetujui oleh tokoh pengasas negara, termasuklah bapanya semasa Malaysia dibentuk.

Dan beliau perlu membantu menghilangkan parut negara di mana Malaysia dikenali dengan jolokan ;kleptokrasi paling teruk’ di dunia.

Tidak ada perkara lebih baik yang Najib boleh buat selain menghilangkan dirinya dari arena politik negara, dan tidak sesekali cuba untuk menjadi perdana menteri sekali lagi.

Tidak adakah sesiapa dalam Umno yang juga berani mengatakan bahawa Umno sepatutnya menjadi penggerak untuk mengembalikan negara kepada prinsip-prinsip asas pembangunan negara seperti di dalam Perlembagaan Persekutuan oleh tokoh-tokoh yang bersama membentuk negara kita sebelum ini.

Prinsip asas pembangunan negara: Malaysia merupakan sebuah monarki berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus baik, hormat kepada hak asasi manusia dan perpaduan masyarakat majmuk pelbagai kaum, bahasa, agama dan budaya.

Adakah Najib tidak akan sama sekali berputus asa daripada usahanya untuk menjadi perdana menteri sekali lagi?

Salah satu sebab mengapa Sri Lanka kini bankrap dan hampir menjadi negara gagal adalah kerana masalah rasuah

Berikut adalah apa yang ditulis di Wikipedia tentang rasuah di Sri Lanka: “Rasuah wujud di kiri, kanan dan berpusat pada semua lapisan masyarakat dari peringkat tertinggi kuasa politik hingga ke peringkat kakitangan yang paling kecil.

Masalahnya telah lama wujud. Walaupun terdapat seruan berterusan untuk pembaharuan dan banyak percubaan untuk memperbaiki keadaan, tidak banyak kemajuan yang dapat disaksikan. Kebanyakan rakyat Sri Lanka juga menganggap rasuah hanyalah satu fakta kehidupan terutamanya dalam merasuah pegawai awam untuk menyelesaikan apa-apa tugas.”

Transparency International pertama kali menyenaraikan Sri Lanka dalam Indeks Persepsi Rasuah pada tahun 2002 di mana Sri Lanka menduduki tempat ke-52 daripada 102 negara dan memperoleh 3.7 daripada 10 mata. Manakala Malaysia berada di kedudukan 33 dan memperoleh 4.9 mata.

Dalam dua dekad yang lalu, Sri Lanka telah jatuh ke kedudukan 102 daripada 180 negara dan kepada skor 37 daripada 100 mata, manakala Malaysia jatuh ke kedudukan 62 daripada 180 negara dengan skor 48 daripada 100 mata.

Dalam tempoh 20 tahun, Sri Lanka telah ketinggalan di belakang China yang berada di tempat ke-66 dengan markah 45. India di tempat ke-85 dengan markah 40, Vietnam di tempat ke-87 dengan markah 39 dan kepada Indonesia di tempat ke-96 dan dengan markah sebanyak 38 mata.

Manakala Malaysia pula berada dalam trajektori untuk dipintas oleh negara-negara ini dalam dekad yang akan datang.

Apa yang sedang Malaysia lakukan untuk tidak menjadi satu lagi kisah seperti Sri Lanka?

Semalam, Ketua Pembangkang Perak Abdul Aziz Bari menawarkan diri untuk melawan Menteri Belia dan Sukan dan bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu di kerusi Parlimen Tambun dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Saya menyokong hasrat Aziz Bari ini dan memandangkan Faizal telah bertanding di atas tiket Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-14, Aziz Bari akan dapat memulakan khidmatnya di kawasan parlimen Tambun jika kedua-dua parti PKR dan AMANAH dapat memberikan sokongan mereka kepada cadangan ini.

Baca juga: “Saya sedia ke penjara kerana beri amaran jangan jadi macam Sri Lanka”

Baca juga: Influencer dengan mata unik impi nak jadi model