Malaysia Dateline

Mohamed Khaled Nordin

Umno sokong siasatan TH, kata Mohamed Khaled

Naib Presidennya, Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, bukan sahaja Umno malah beliau percaya seluruh umat Islam di Malaysia berkongsi pandangan sama.

Justeru, beliau menyambut baik saranan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mencadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan dengan segera.

“Ia bagi menyiasat, mengesah dan menerangkan secara telus dan terperinci tentang kedudukan serta amalan kewangan TH.

“Tabung Haji merupakan satu institusi awam yang sangat kritikal kepada orang Melayu dan Islam. Jadi, tidak harus ada sebarang kompromi dan dolak-dalik dalam memberi pencerahan dan keadilan berhubung isu ini.

“Semua pendeposit dan pihak yang berkepentingan mempunyai hak untuk mengetahui keadaan sebenar,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah beliau, sekiranya didapati ada salah laku dalam tadbir urus atau penyelewengan, maka pihak yang terlibat mestilah disiasat dan dibawa ke muka keadilan.

“Jika tidak ada salah laku atau penyelewengan sebaliknya hanyalah satu perbezaan standard atau amalan dalam proses perakaunan dan audit, penjelasan serta penerangan yang penuh dan benar juga mesti dilakukan.

“Melalui RCI, sudah pastinya siasatan yang telus serta tidak berpihak akan dapat dilakukan.

“Saya yakin RCI juga adalah forum terbaik untuk kita menentu sah kebenaran dan kedudukan sebenar perkara ini,” katanya.