Malaysia Dateline

Umno sudah boleh siap sedia tarik balik sokongan kepada PN

“Setelah ada tanda-tanda krisis kesihatan Covid-19 menjadi lebih terkawal, kepimpinan Umno dilihat boleh bertindak pada bila-bila masa untuk menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang akan menyebabkan PRU diadakan”.

Itu kata-kata yang dilontarkan oleh Penolong Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Dr Ong Kian Ming menerusi satu kenyataan dikeluarkannya berkaitan dilema Umno dalam kerajaan PN.

Beliau berkata, Umno juga sedar bahawa Bersatu memerlukan lebih banyak masa untuk melemahkan Umno dan membuat persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Oleh itu, strategi jangka panjang yang optimum bagi Umno untuk memenangi semula kuasa adalah, untuk tidak memastikan bahawa kerajaan Muhyiddin dapat bertahan selama tempoh penuh sehingga PRU15.

“Justeru, Umno harus memilih masa terbaik untuk menarik sokongannya terhadap kerajaan ini untuk mencetuskan PRU.

“Namun, menarik semula sokongan itu mungkin tidak akan berlaku dalam waktu terdekat kerana ketika ini, negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi akibat wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataannya itu, Kian Ming turut menyatakan tentang kesukaran untuk meramal strategi Ahli Parlimen Umno yang tidak diberi jawatan kabinet, terutamanya mereka yang mempunyai kes mahkamah yang belum selesai.

“Apakah kemungkinan mereka akan ‘sabotaj’ kerajaan Muhyiddin, misalnya dengan tidak hadir untuk memberi sokongan kepada Rang Undang-Undang di Parlimen sekali gus mencetuskan kejatuhan kerajaan?

“Kemungkinan ini lebih tinggi sekiranya kes mahkhamah yang melibatkan Presiden Umno, Setiausaha Agung Umno dan beberapa anggota Majlis Tertinggi Umno tidak digugurkan dalam masa yang sesuai,” katanya lagi.

Menurut Kian Ming lagi, beberapa tanda tentang ketidakpuashatian dalam kalangan pemimpin Umno terhadap kerajaan sekarang, juga sudah kelihatan.

“Setakat ini, sasaran mereka nampaknya tertumpu kepada pemimpin Bersatu. Sebagai contoh, Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan keputusan Azmin Ali untuk membenarkan sektor tambahan beroperasi dari 15 hingga 28 April,” ujarnya