Malaysia Dateline

Umno, tahu malulah sikit!

9 Mei lalu, cukuplah dua tahun Umno bersama koalisinya, Barisan Nasional (BN) tumpas dalam arena politik kebangsaan sejak merdekanya Malaysia pada 1957 lalu. Kali pertama mereka menjadi pembangkang di Dewan Rakyat. Peristiwa ini sudah tentu memberi pengajaran dan memalukan Umno, bukan?

Tidak, tidak sama sekali. Parti ini sama sahaja seperti dahulu, tidak tahu malu sampai sekarang. Masih lagi tamakkan kuasa dan berselindung di sebalik kata-kata suci, kononnya mahu menyelamatkan politik dan pentadbiran negara. Tapi hakikatnya Umno ini tidak lain tidak bukan hanyalah mahu kuasa dan mahu jadi paling berkuasa dalam kalangan yang berkuasa.

Merujuk pada laporan Malaysiakini: (https://www.malaysiakini.com/news/524448fbclid=IwAR01_ZqSCUR1I2IDco1ED4NP1rgMsfTwQXCm-rZYeSKpqnhI50XU7D5tNME) pada 6 Mei lalu, Majlis Tertinggi Umno akhirnya dilaporkan secara rasmi menolak menyertai Perikatan Nasional. Ujar sumber tersebut, mereka bagaimanapun masih menyokong kepimpinan Perdana Menteri sekarang menerusi Muafakat Nasional.

Entah apa entah mereka mengarut, cukuplah kita bincangkan di sini dua dalil mengapa mereka ini satu parti tidak tahu malu.

Pertama, menerusi sumber daripada laporan di atas, mereka mendakwa bahawa “Hubungan Umno dengan PN hanya satu persefahaman untuk menyelamatkan Malaysia kerana kemelut politik yang dicetuskan sendiri oleh kelompok tertentu dalam PH”.

Wah, sejak bila Umno jadi malaikat penyelamat umat ini? Suci dan murni sungguh hati Umno mahu menyelamat Malaysia daripada karam. Alangkah baiknya kalau Umno berani cakap begitu masa Najib memerintah!

Ah, tolonglah Umno. Kalau ya nak tolong bantu selamatkan negara daripada kemelut politik, sokonglah kerajaan yang dapat mandat rakyat ketika itu. Kenapa pergi sokong suatu gerakan yang membuatkan Malaysia hilang kepimpinan Persekutuan sehingga berhari-hari?

Nak kuasa itu mengaku sajalah. Boleh saja jadi “gentlemen” dan sokong saja kerajaan yang ada ketika itu. Sebab tindakan Umno yang turut sama sokong usaha menjatuhkan kerajaan ketika itu, Malaysia yang sedang sibuk berperang dengan permulaan wabak Covid-19 hilang masa-masa emas untuk mengawal wabak ini. Tiba-tiba tak tahu malu mengaku niat sokong Perdana Menteri sekarang adalah untuk menyelamatkan keadaan.

Tak cukup dengan itu, Umno ini bukan saja nak berkuasa, dia nak jadi paling berkuasa antara yang berkuasa!

Maka kita sampai pada dalil kedua Umno ini tidak tahu malu. Menerusi laporan sama juga, Umno tak mahu bersama PN katanya kerana “…kita tak mahu jadi parti kecil. Kalau banyak parti dalam PN, Umno tak boleh nak jadi macam dalam BN sebelum ini.”.

Wah, wah, wah. Umno, tak biasa jadi parti komponen dalam satu-satu koalisikah?

Oops, tak pernah pun sebenarnya. Dari dulu Umno dah biasa jadi parti terkuat dalam Perikatan dan BN. Tak biasalah itu duduk dalam sebuah pakatan politik dan mengerti erti sebenar berkongsi kuasa. Yalah, kalau parti lain dalam Perikatan dan BN dulu ada suara yang relevan, tak adalah kita sebut BN atau UMNO sebagai “Umno-BN”, bukan?

Umno, nak berkuasa balik tak? Boleh saja. Belajar kongsi kuasa dulu, bukan asyik rampas dan tamak kuasa saja. Tahu malu sikit dulu.

Belajar dulu untuk berkhidmat demi rakyat, bukan berkhidmat demi duit rakyat.

* Penulis ialah aktivis Belia Harmoni Cheras Baru.