Malaysia Dateline

Umno tak boleh halang MP sokong Anwar, kata Zahid Hamidi

Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi akur sekiranya benar beberapa ahli Parlimen dari parti itu yang mengambil keputusan untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak dapat menghalang hasrat menyokong Presiden PKR itu yang dilaporkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong nanti.

Tambahnya, parti itu juga bukanlah sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN), namun ianya hanyalah sokongan yang dinyatakan oleh ahli-ahli Parlimen sahaja.

“Umno dan BN tidak dapat menghalang ahli-ahli Parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong Anwar Ibrahim yang berhasrat untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau sebagaimana dimaklumi.

“Saya dimaklumkan ramai Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan BN yang telah menyatakan sokongan.

“Saya menghormati pendirian Ahli-Ahli Parlimen berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini, Anwar mengisytiharkan memperoleh sokongan yang besar, kukuh dan meyakinkan untuk merampas kembali Putrajaya.

Untuk rekod Pakatan Harapan mempunyai 91 sokongan dengan DAP 42, PKR 38 dan AMANAH 11.

Menurut sumber, sokongan diperoleh termasuk 10 dari ahli Parlimen Umno dan kesemua 19 ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bagaimanapun, jumlah sebenar sokongan yang diperolehi hanya akan diumumkan selepas beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong.