Malaysia Dateline

Umno tarik diri dari sokong PN, pertimbang permohonan Bersatu sertai MN

Umno mengumumkan penarikan partinya dari Perikatan Nasional (PN) dan akan terus bekerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) dan parti-parti dalam Barisan Nasional, kata Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam kenyataannya hari ini, Zahid juga berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuannnya dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional semalam telah menyatakan hasrat Bersatu untuk menyertai MN.

“Hasrat PPBM ini kita akan bincangkan dengan Pas untuk diperhalusi,” kata Zahid.

Zahid mengumumkan tindakan keluar dari PN dipercayai ekoran keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada bekas presiden Umno, Datuk Seri Najinb Razak.

Berhubung dengan permohonan Muhyiddin untuk Bersatu menyertai MN, tentangan sudah mula kelihatan dari pemimpin dan penyokong Najib sejak semalam sebaik sahaja selepas permohonan dibuat Muhyiddin dalam pertemuan dengan MP BN itu.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam berkata, ia adalah tindakan gelabah Muhyiddin selepas Umno mahu meninggalkan PN.

Lokman menegaskan, sebelum ini beliau yakin Umno berlapang dada menerima Muhyiddin tetapi tidak lagi selepas Najib dijatuhkan hukuman penjara.

“Saya yakin, selepas apa yang dia lakukan ke atas Datuk Seri Najib, bukan setakat saya, bahkan rakyat Malaysia tidak boleh terima lagi,” kata Lokman.