Malaysia Dateline

Umno tegas tidak akan kerjasama dengan Bersatu, Shahidan hanya mimpi siang hari

Umno bertegas tidak akan lagi bekerjasama dengan Bersatu dan meminta Datuk Seri Shahidan Kassim tidak bermimpi di siang hari dengan menjadi jurucakap parti itu.

Sehubungan itu, Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, sepatutnya Shahidan faham fahamlah bila kena boo oleh perwakilan semasa berucap mewakili Perlis di PAU 2020 lalu.

“Kini dia menyebok lagi supaya Umno buat U turn agar bekerjasama dengan PPBM kalau mahu menang besar demi masa depan politik orang Melayu,” katanya.

Menurut Puad, Umno memang mahu bekerjasama dengan mana-mana parti politik Melayu tetapi bukan dengan Bersatu.

“Dengan PPBM sudah tutup pintu. Keputusan telah pun dibuat dalam PAU 2020 dan mesyuarat MKT pada 7 Julai yang lalu,” kata beliau.

Bagi Puad, tidak ada jaminan, politik Melayu kuat jika Umno bekerjasama dengan PPBM.

“Ia hanya untuk melepaskan tengkuk PM dan orang orang seperti Shahidan,” kata beliau.

Bagi mereka yang faham, katanya, cakap cakap Shahidan itu hanya untuk survival politik beliau.

“Bolehkah Shahidan menang jika dia bertanding bukan atas tiket Umno?” tanya beliau lagi.

Bagi beliau, ahli Umno tidak payah guna isu “No Anwar No DAP”.

“Itu hanya muslihat supaya Umno menjadi defensif. Umno tidak pernah ubah keputusan,” katanya.