Umno Terengganu bersedia hadapi Pilihan Raya Negeri

Umno Terengganu bersedia hadapi Pilihan Raya Negeri

Umno Terengganu bersedia menghadapi pilihan raya negeri itu jika ia berlaku dan yakin mampu mempertahankan kemenangan parti itu.

Menteri besar Ahmad Razif Abdul Rahman bagaimanapun berharap pilihan raya negeri tidak diakan dalam masa terdekat ini kerana ia akan menelan belanja yang besar dan menyusahkan rakyat.

“Kita terpaksa adakan dua pilihan raya iaitu satu di peringkat negeri dan satu di peringkat parlimen, ia bukan menelan belanja yang sedikit, bila PRU nanti kena buat sekali lagi, kos akan meningkat, ia akan merugikan rakyat dan kerajaan.

“Tetapi, kalaulah keadaan terpaksa, kerajaan negeri telah bersiap sedia, Umno Terengganu bersiap sedia. Namun, demi untuk rakyat, kita minta perkara ini dipertahankan sehingga berlaku PRU yang akan diumumkan oleh perdana menteri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Koperasi Negara 2016 Perinkat Negeri Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di Kuala Terengganu, semalam.

Malaysia Dateline semalam melaporkan, desas desus kini bertiup kencang di Terengganu kononnya Razif akan berundur untuk membolehkan krisis politik di negeri itu selesai.

Ini berikutan ugutan bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said, jika beliau terpaksa keluar dari Umno, menteri besar yang ada juga perlu meletakkan jawatan.

Namun begitu, Razif bertegas beliau tidak akan berundur sebaliknya menyalahkan Ahmad dengan apa yang berlaku di Terengganu sekarang ekoran kerajaan pimpinan beliau menang dengan hanya majoriti tipis dalam pilihan raya umum 2013 lalu.

Sementara itu, Pas Terengganu turut mencadangkan pilihan raya diadakan di negeri itu.

Timbalan pesuruhjaya Pas Terengganu Yahya Ali berkata rakyat perlu diberi peluang untuk memilih parti mana yang layak untuk mentadbir kerajaan negeri.

“Paling bagus dalam sistem demokrasi dan mendengar suara rakyat, dalam keadaan negeri yang tidak mempunyai kepimpinan yang tdiak stabil ini pilihan raya merupakan penyelesaian yang terbaik,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, Pas bersikap tunggu dan lihat sehingga Umno BN hilang majoriti di Dewan Undangan Negeri (Dun).

“Kita kena tunggu Umno hilang majoriti di Dun dulu baru boleh buat keputusan. Biar usul menjatuhkan Razif diluluskan dulu,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)