Malaysia Dateline

Umno Terengganu lebih yakin, Pas mungkin tumbang PRU-15

Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said kata parti itu tidak akan berpakat dengan mana-mana pihak dalam pilihan raya akan datang dan akan meletakkan calon di semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi Parlimen.

Hari ini juga tokoh sanjungan Pas Terengganu, Abdul Hadi Awang kata, tidak perlu Parlimen didesak agar dibubarkan dan biarlah ia berakhir hingga habis penggal.

Memahami kenyataan kedua-dua politis Terengganu itu menggambarkan Umno lebih berani dan yakin untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sebaliknya, Tok Dor Hadi pula seperti tidak yakin dan tidak berani untuk menghadapi pilihan raya. Kalau Pas Terengganu yakin boleh menang dengan selamat, tentu Tok Dor Hadi tidak melarang desakan Parlimen dibubarkan dan biarlah pilihan raya diadakan segera.

Sudah nampak cula dan roma akan kebimbangan Tok Dor mengenai nasib dan masa depan Pas di negeri Penyu Menangis itu. Apakah kebimbangan Hadi itu memandangkan kemelut dalam Pas di negeri itu kini makin serius?

Keretakan dalam Pas Terengganu bermula ekoran pengunduran ahli Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aiman Razali daripada parti berkenaan.

Walaupun pengunduran Khairuddin itu dilihat secara peribadi, tetapi di belakangnya dipercayai ada beberapa lagi pemimpin lain yang akan membuat tindakan sama.

Apakah Terengganu akan jadi salah satu negeri pertama di pantai timur yang dikuasai Pas akan tumbang kali ini?