Umno Terengganu sokong Ahmad Said tanding Naib Presiden

Umno Terengganu sokong Ahmad Said tanding Naib Presiden

Badan Perhubungan Umno Terengganu akan menyokong sepenuhnya pencalonan Ketua Umno Bahagian Kemaman Datuk Seri Ahmad Said sebagai naib presiden dalam pemilihan parti itu akhir bulan ini.

Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata Umno Terengganu amat gembira dengan pencalonan itu kerana ia akan mewakili suara Terengganu ke peringkat tertinggi kepimpinan parti.

“Sudah lama Terengganu tidak ada wakil di situ (kerusi nasib presiden) memandangkan kali terakhir ialah pada zaman Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad pada 1990-an.

“Sudah pasti Umno Terengganu akan memberi sokongan penuh dan kita akan berkempen untuk beliau sebagai satu-satunya wakil Terengganu yang akan sampai ke tampuk kepimpinan sebegitu (tinggi),” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada anggota Kelab Wartawan Media Terengganu malam tadi lapor Bernama.

Ketika ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus pula, Ahmad Razif menegaskan beliau akan mengundurkan diri sekiranya ada calon muda yang mahu bertanding.

“Bagaimanapun sekarang ini saya menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus sekiranya tidak ada mana-mana calon yang menawarkan diri.

“Paling penting hari ini bukan jawatan, sebaliknya kita nak kembalikan semula solidariti dan permuafakatan untuk memperkuatkan jentera untuk kita menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 nanti,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)