Malaysia Dateline

Umno Terengganu usah berlagak hero Raja Melayu, kata Pemuda AMANAH

Pemuda AMANAH Kuala Terengganu menolak dakwaan Timbalan Ketua Bahagian Umno Kuala Terengganu, Najmil Faiz Mohamed Aris yang mengatakan Pakatan Harapan (PH) tidak menghormati Raja-Raja Melayu berikutan solidariti terhadap hukuman penjara pendakwah, Ustaz Wan Ji Wan Husein.

Ketuanya, Zamir Ghazali berkata, Najmil Faiz gagal untuk memahami bahawa tindakan membantah hukuman terhadap Ustaz Wan Ji tidak bermakna kita bersetuju dengan apa yang diluahkan oleh Wan Ji tetapi kita menolak tokoh pendakwah itu didakwa dan dihukum oleh akta zalim yang ditentang oleh pemimpin PH sejak dari awal ia diwujudkan lagi.

“Desakan agar dimansuhkan Akta Hasutan ini yang telah lama diperjuangkan secara konsisten oleh PH (dulu Pakatan Rakyat) dan merupakan salah satu manifesto PRU14 PH. Solidariti terhadap Ustaz Wan Ji adalah berikutan beliau menjadi mangsa terbaharu akta drakonian itu.

“Apa yang disuarakan adalah soal prinsip menolak akta zalim bukannya terhadap batang tubuh seseorang. Hatta sekiranya Najmil Faiz sendiri didakwa dibawah Akta Hasutan, Pakatan Harapan akan membantah hal yang demikian.

“Dakwaan bahawa wujud campur tangan politik terhadap pembebasan Wan Ji juga adalah tidak benar sama sekali. Penangguhan hukuman penjara terhadap Ustaz Wan Ji melalui proses perbicaraan di mahkamah dengan mengikut lunas undang undang yang ada,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Jelas Zamir, Ustaz Wan Ji masih mempunyai ruang membuat rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan dan proses perbicaraan rayuan boleh mengambil masa hingga lebih dari setahun sedangkan hukuman terhadap Wan Ji adalah selama 12 bulan.

Tambah beliau, sekiranya penangguhan tidak dibenarkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, maka pelaksanaan hukuman penjara ini akan menjadi sia-sia sekiranya rayuan Wan Ji dibenarkan. Inilah keadaan khas yang wujud yang membolehkan hukuman penjara ditangguhkan.

“Jika Wan Ji dipenjarakan terus, beliau akan selesai menjalani hukuman sebelum keputusan di Mahkamah Rayuan diputuskan.

Pemuda AMANAH Kuala Terengganu kesal apabila Umno cuba memainkan persepsi secara salah dalam hal ini. Umno, sama ada di Terengganu bahkan seluruh negara mempunyai rekod “Tidak hormati” raja raja termasuk Sultan Terengganu.

“Tindakan menjadi hipokrit dalam hal ini seolah menunjukkan Umno menggunakan isu berkaitan raja raja demi untuk kepentingan politik sahaja. PH tetap menjunjung tinggi institusi Diraja sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.