Malaysia Dateline

Umno terhimpit elak ditikam dari dalam

Sebenarnya tiada berita yang hendak dilaporkan daripada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno. Keputusan Umno yang bersetuju agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) menarik semula penggantungan sidang Parlimen dan undangan negeri itu telah dinyatakan oleh pihak pembangkang.

Malah, Jawatankuasa Tamat Darurat merafak sembah dan merayu kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong untuk bertindak segera supaya darurat ditamatkan dan Parlimen dibenar bersidang seperti biasa.

Segala kenyataan yang dikatakan Umno akan keluar PN dan kerajaan PN akan tumbang hanyalah mimpi di siang hari. Pandangan penganalisis tentang kerjasama politik Umno dengan parti-parti pembangkang seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP atau pertimbang untuk kembali bersama PN tidak menjadi kenyataan.

Umno tidak akan berani membuat demkian kerana ia akan membawa kesan negatif yang mendorong kepada pepecahan Umno.

Risiko kenyataan Umno keluar PN atau bersama PH akan membawa kemudaratan, memburukkan situasi Umno.

Sama ada ia suatu “kekhilafan” atau tidak, kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membuat gesaan itu sebagai pengerusi BN, mencetuskan kekeliruan kerana dikatakan mirip dengan yang dikeluarkan oleh PH, kini ternyata ia hanyalah berita basi, apa yang baharunya adalah dinyatakan secara formal oleh MT.

Adakah ia memperlihatkan Umno senada dengan pembangkang PH dan Pejuang? Mungkin juga dari segi matlamatnya.

Sebagai Presiden, Zahid berhadapan dengan cabaran besar memimpin Umno berhadapan dengan gelombang besar sedang menggila menghempas bahtera Umno. Ia sesuatu yang amat berat untuk dipikul kerana Umno bukan calang-calang parti dalam sejarah politik negara, berunding dengan British memerdekakan Tanah Melayu.

Mahukah tercatat dalam sejarah negara dan dunia, pada masa Zahid memimpin, Umno berpecah sebagai parti terbesar orang Melayu dan Malaysia, yang memimpin BN selama lebih 55 tahun?

Cabaran besar Zahid ialah memastikan Umo kembali berkuasa setelah kalah dalam pilihan raya lepas. Atau adakah ini suatu igauan kerana realitinya parti manapun yang menang, ia tidak boleh berdiri sendiri, ia harus membentuk gabungan, pakatan atau perikatan. Rasanya Zahid masih mengharapkan untuk menebus kembali kuasa memerintah kerajaan yang telah hilang.

Dalam hubungan ini Zahid dengan dua tugas serentak dan amat rumit, berada dalam kerajaan PN, memastikan Umno sebagai sebuah parti yang disegani dan dihormati di samping memastikan Umno tidak ditikam dari dalam ketika senario akar umbi memuktamadkan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Pada masa yang sama, Ahli Parimen Bagan Datuk ini harus membuat persediaan dalam menghadapi PRU15 dengan bertindak sebagai pembangkang.

UMNO kini sedang berhadapan dilema dalam menentukan hala tuju dan nasib parti itu bagi mengharungi PRU15.

Keadaan bertambah berserabut dengan kedudukan Zahid berhadapan pertuduhan di mahkamah dan beliau harus memastikan dirinya bebas daripada tanggapan negatif sebelum berhadapan dengan musuh dalam selimut dan musuh nyata.

Namun tantangan terbesar Umno ialah kelemahannya untuk menyatakan pendirian secara rasmi memutuskan hubungan dengan Bersatu kerana sehingga kini tiada tarikh khusus yang dinyatakan. Ramai yang menanti kenyataan MT berhubung dengan mesyuarat tersebut.

Inilah rasanya membuat beberapa pemimpin mendesak supaya diadakan pemilihan Umno dengan harapan Zahid dijatuhkan. Terdapat kalangan pemimpin Umno yang membantu Bersatu dan mahukan Umno terus bersama Bersatu.

Mengikut Perlembagaan Umno, proses pemilihan perlu diadakan setiap tiga tahun sekali dengan tempoh penggal kepimpinan parti sedia ada berakhir pada bulan Jun. Bagaimanapun, perlembagaan juga menyebut pemilihan Umno boleh ditangguhkan kepada 18 bulan, dengan syarat alasan penangguhannya diterima Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS).

Sehubungan itu pemecatan Shahidan Kassim sebagai pengerusi badan perhubungan Umno Perlis ada kaitan dengan sering berbeza pandangan dengan pimpinan tertinggi parti Melayu itu.

Shahidan adalah antara pemimpin Umno yang lantang mengkritik kepimpinan pusat berhubung keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.

Sebelum ini, beliau turut berkata tidak bimbang jika tindakan diambil terhadap Umno Perlis di bawah pimpinannya. Perhimpunan agung Umno yang berlangsung pada 27 Mac lalu menyaksikan Shahidan “diboo” perwakilan ketika memberikan ucapan kerana dilihat tidak sekata dengan MT Umno.

Seorang lagi pemimpin Umno, Annuar Musa juga dipecat daripada jawatan tertinggi Barisan Nasional selepas dilihat tidak sehaluan dengan Zahid.

Penulis adalah pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor.