Malaysia Dateline

Umno terus berharap Pas guna logonya sendiri bukan logo PN

Umno terus mengharapkan agar Pas tidak menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.

Anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashid berkata, Pas wajar menggunakan logo sendiri bukannya logo PN.

“Memang tepat Umno guna logo BN. Pas guna logo Pas di PRN Melaka. Tak payahlah Pas guna logo PN,” kata Puad menerusi Facebook beliau.

Isu penggunaan logo menjadi kecoh di Melaka apabila Pas bersama PN membuat keputusan untuk menggunakan logo PN dalam PRN ini.

Namun begitu, seorang Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Zuhdi Marzuki berkata, kuasa untuk memutuskan logo mana yang perlu digunakan hendaklah diputuskan oleh Pas sendiri dan disahkan oleh Majlis Syura Ulama Pas.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man pula mencadangkan agar BN dan PN menggunakan logo Pas dalam PRN Melaka kerana kedua-dua mereka mahu bersama Pas.

Ekoran itu, tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin menyifatkan cadangan Pas itu umpama percubaannya mahu mengail jerung tetapi kailnya hanya panjang sejengkap sahaja.