Malaysia Dateline

Umno terus tekan kerajaan PN, kali ini moratorium dan KWSP Akaun 1

Umno terus menekan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin agar meluluskan pelaksanaan moratorium secara automatik dan pengeluaran dari akaun 1 KWSP tanpa menunggu Belanjawan 2021.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, pelaksanaan itu diperlukan rakyat segera bukan lagi masa untuk memberikan pelbagai daleh.

“Tunggu apa lagi. Umum sahaja kelulusan dua perkara yang amat diperlukan oleh rakyat. Pertama automatik moratorium. Kedua, pengeluaran dari akaun 1 KWSP,” kata Puad menerusi facebook beliau.

Kalau dahulu moratorium boleh diberikan pada bulan April bukan masa pengumuman Belanjawan, ia tidak perlu ditunggu lagi, katanya.

“Takkan nak tunggu peristiharan Darurat. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih,” tulis beliau lagi.

Tekanan demi tekanan dibuat agar kerajaan melaksanakan moratorium terhadap semua pinjaman bank seacra automatik sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

Moroterium pinjaman bank telah dikenakan secara autotamatik sehingga hujung September lalu. Penamatannyab telah dibantah oleh pelbagai pihak termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) ketika rakyat masih bergelut dengan tekanan kesan penularan wabak Covid-19.

Pengeluaran dari Akaun 1 KWSP pula diperlukan oleh pencarum kerana orang ramai sudah kehabisan simpanan ekoran sekatan pergerakan yang terpaksa mereka lalui menyebabkan ramai yang hilang mata pencaraian.

KWSP mempunyai tiga akaun pengguna iaitu 1, 2 dan 3. Akaun 1 hanya dibenarkan pengeluarannya oleh pencarum selepas umur 55 tahun.

Umno secara rasmi mencadangkan pengeluaran dari Akaun 1 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan meneruskan pemberian moratorium pembayaran pinjaman secara bersasar dalam Belanjawan 2021.

Cadangan itu sebahagian daripada 130 syor dalam Memorandum Suara Rakyat oleh parti berkenaan kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz empat hari lalu.

Sebelum ini, seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, beliau mencadangkan supaya kerajaan membenarkan pencarum untuk mengeluarkan simpanan dari Akaun 1 hanya untuk tujuan membayar pinjaman sama ada rumah, kenderaan atau pinjaman peribadi.

“Biarpun ada yang mendapat pengurangan bayaran bulanan terhadap pinjaman mereka, masih ramai lagi terbeban kerana keadaan ekonomi belum pulih sepenuhnya.

“Sekiranya langkah ini dilaksanakan, simpanan dikeluarkan itu dapat meringankan beban rakyat untuk mengurangkan jumlah pinjaman masing-masing,” katanya melalui satu kenyataan di facebook beliau.

Sebelum ini, Perdana Menteri Muhyiddin berkata, sukar bagi kerajaan membenarkan pengeluaran wang akaun 1 caruman KWSP bagi digunakan rakyat yang berdepan wabak Covid-19.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menyedari ada cadangan yang dibuat bagi pengeluaran wang akaun 1 KWSP berikutan rakyat terbeban dengan impak ekonomi akibat penularan berkenaan.