Malaysia Dateline

Umno tidak akan bekerjasama dengan PH

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau menyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Menurut Ahli Parlimen Pontian itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak akan membawa sokongan parti untuk menyokong PH.

“Tidak betul sebab dia (Anwar) tak dapat majoriti. Dia hanya ada 105. 105 pun tak mencapai 111. Dan Umno tidak akan sokong dia

“Presiden tidak akan membawa untuk menyokong mereka. Apa yang akan berlaku, itulah strategi yang kita tidak sebut di luar,” katanya ketika ditanya mengenai strategi Umno.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara ‘Politik Umno Terkini” di laman Facebook NRChannelTV malam tadi.

Ahmad memberitahu Zahid telah bertemu dengan beberapa Ahli Parlimen Umno baru-baru ini untuk meyakinkan mereka.

“Presiden bersumpah wallahi, wabillahi, watallahi bahawa saya (Zahid) tidak akan menyokong Anwar Ibrahim untuk jadi Perdana Menteri dan saya tidak akan bersama dengan PH, DAP di hadapan beberapa Ahli Parlimen.

“Saya ada ketika itu. Baru sehari dua ini. Jadi tuduhan terhadap beliau (Zahid) itu adalah tuduhan tidak berasas,” kata Ahmad ketika ditanya pengacara, Rafi Awang Kechik.

Dalam masa sama, Ahmad menyarankan sidang Parlimen diadakan pada bulan ini juga untuk menentukan sama ada Mahiaddin Md Yasin mempunyai majoriti atau sebaliknya.

Jelasnya, usul undi percaya untuk menentukan keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu perlu dilaksanakan sebelum persidangan penuh Dewan Rakyat pada 6 hingga 30 September.

“Pada 6 September yang dijadualkan sidang itu, sidang pembukaan Parlimen titah Yang di-Pertuan Agong, apabila baginda titah – usul PM – PM jatuh. Ia tidak sesuai dibuat.

“Yang lebih sesuai, sukacita saya ingin mencadangkan bukan cadangan saya seorang (tetapi juga) cadangan Majlis Kerja Tertinggi Umno, sidang khas lebih awal daripada September untuk mengabsahkan (atau) tidak mengabsahkan kedudukan PM supaya perkara diselesaikan lebih awal sebelum sidang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Jadi, masa-masa yang sesuai pada 15 Ogos atau pertengahan bulan Ogos agar perlu ada lebih kurang dua minggu lebih bagi menentukan PM yang baharu,” katanya lagi.

Ahmad antara 15 Ahli Parlimen Umno yang telah menarik sokongan terhadap Mahiaddin.

Selain Zahid, turut berada di pihak pembangkang ialah Ahli Parlimen Baling, Cameron Highlands, Gua Musang, Jerantut, Lenggong, Machang, Pekan, Parit, Pengerang, Tanjung Karang, Parit Sulong, Kimanis dan Kinabatangan.

Pada masa ini, 23 wakil rakyat Umno lagi dilihat menyokong Mahiaddin atau tidak menyatakan pendirian.

Sehingga semalam, Mahiaddin yang juga Pengerusi PN disokong 100 Ahli Parlimen dengan 31 kerusi daripada partinya diikuti Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) masing-masing 18 kerusi Dewan Rakyat.

Turut menyokong Presiden Bersatu itu ialah Bebas (4 kerusi), MCA (2 kerusi) manakala satu kerusi masing-masing dari Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan MIC.