Malaysia Dateline

Umno tidak akan bersama Pas mendaftarkan Perikatan Nasional

Hubungan antara Umno dan Pas dikatakan mula menghadapi masalah apabila Pas dilihat lebih rapat dengan Bersatu sehingga bersama-sama menubuhkan Perikatan Nasional (PN) yang tidak disenangi Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Apakah Pas mahu bersama Datuk Seri Najib Razak melalui MN atau mahu bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui PN atau bermain di kedua-dua perahu,” kata seorang penganalisis politik ekoran tindakan Pas itu.

Semalam, Pengerusi BN yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno dan BN tidak akan terlibat dalam urusan Pas mendaftarkan Perikatan Nasional (PN) walaupun rakan sekutu mereka dalam Muafakat Nasional (MN) itu menjadi penganjurnya bersama Bersatu.

“Kita tidak mencampuri urusan hal ehwal parti lain (Pas) biarpun mereka bersama-sama dalam Muafakat Nasional (MN).

“Kita telah mengambil keputusan muktamad bahawa parti tidak akan menyertai PN sebagai komponen kepada PN,” kata Zahid ketika ditemui media semasa berkempen untuk calon BN di pilihan raya kecil Slim, Perak.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan, parti itu akan menjadi penaja bersama dengan Bersatu bagi menubuhkan gabungan parti politik di bawah PN yang kini menjadi kerajaan.

Takiyuddin yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Hal Ehwal Undang-undang) berkata, parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu akan menyertai PN bersama Bersatu.

Jelas beliau, Pas merupakan antara parti penaja gabungan politik baharu, yang muncul selepas perubahan politik pada hujung Februari lalu.

“Pas ada, PPBM ada, BN kena tanya BN, saya tidak pasti,” katanya kepada media selepas majlis serah watikah pelantikan anggota Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) semalam.