Umno tidak akan jual prinsip untuk genggam kuasa dengan Mahiaddin. Umno tidak mahu menjual prinsip dan sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk menggenggam kuasa dan bekerjasama dengan Tan Sri Mahiaddin Md Yassin.
Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada mana-mana pihak di dalam partinya yang mahu menjalinkan kerjasama dengan Mahiaddin Md Yasin supaya menilai terlebih dahulu segala tindak tanduk dan tabiat Presiden Bersatu itu.
“Mahukah kita terus bekerjasama dengan parti sedemikian?
“Umno ini tidak sempurna. Tetapi kita tidaklah terdesak, menjual prinsip dan sanggup melakukan apa sahaja semata-mata mahu menebus malu dan menggenggam kuasa.
“Kepada mana-mana pihak dalam Umno yang masih mahu bekerjasama, mempercayai dan mempertahankan Bersatu, mereka harus menilai sendiri segala tindak tanduk politik dan tabiat Pengerusi PN dan Bersatu ini yang begitu terdesak mahu kembali jadi PM,” katanya.
Katanya, perjumpaan Presiden Bersatu dengan Tun Mahathir telah membongkar niat sebenar Mahiaddin Md Yassin.
Presiden Bersatu dilaporkan mahu kembali menjadi PM dan mahu kerjasama dengan Parti Pejuang.
“Kita fikir mereka berdiri atas ideologi. Rupa-rupanya semua demi kepentingan peribadi.
“Presiden Bersatu juga dilaporkan mengadakan pertemuan dengan presiden PKR baru-baru ini walaupun tidak ada butiran lanjut.
“Begitu juga Shafei Apdal mengakui beliau dihubungi oleh Pengerusi Perikatan Nasional yang dipercayai berkaitan dengan bentuk kerjasama yang boleh dilakukan dalam pilihan raya umum pada masa akan datang.
“Namun Shafei Apdal dilaporkan sudah memberikan kata putus menolak permintaan tersebut selepas pengkhianatannya dalam PH,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Mahiaddin dilaporkan telah berjumpa dengan Tun Mahathir bagi mengemukakan cadangan gabungan parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Perkara itu disahkan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.