Umno tidak boleh harap perpecahan pembangkang untuk menang

Umno tidak boleh harap perpecahan pembangkang untuk menang

Umno tidak boleh berharap kepada perpecahan dalaman pembangkang untuk menang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata anggota Umno perlu mengukuhkan perpaduan dan memastikan semua permasalahan rakyat serta tohmahan yang dilemparkan pembangkang dijawab dengan baik demi kesinambungan pemerintahan Barisan Nasional (BN).

“Kalau pembangkang nak berpecah, itu hal dia dan kita tak usah peduli. Kerja kita adalah untuk kukuhkan parti dan bantu golongan yang perlu kita tolong tidak kira siapa… orang susah, orang muda yang hendak pekerjaan, ibu tunggal dan banyak lagi.

Mereka di peringkat akar umbi pula perlu bantu jawab isu-isu atau tohmahan di kedai kopi dan sebagainya. Sekarang zaman dunia kelam kelibut… sudah tiada rasa hormat pada orang tua dan pemimpin.

Benda bohong jadi betul dan benda yang tak betul orang boleh percaya. Ini zaman yang kita kena hadapi sekarang,” katanya semasa berucap pada persidangan perwakilan Umno Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini.

{loadposition myposition}

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Ketua Bahagian Umno Pekan merasmikan persidangan itu.

Adnan juga berkata jentera Umno Pahang sudah berada dalam keadaan siap siaga dan hanya menunggu perdana menteri memukul gendang pilihan raya untuk mereka merancakkan kerja menuju ke arah kemenangan.

“Kita juga kena ada mentaliti kemenangan, kena yakin dengan perjuangan. Kalau semuanya kita jawab entahlah atau susahlah, payahlah kita nak menjalankan tugas macam mana nak menang pilihan raya.

Kita kena ingat kenapa kita masuk parti. Sebab kita hendak berada dan berjuang menegakkan satu jentera yang boleh membina dan berjasa kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

CATEGORIES
TAGS