Malaysia Dateline

Umno tidak harus diharamkan, hanya banteras politik kotor, kata MP Kepong

 

Ahli Parlimen Kepong dari DAP, Lim Lip Eng menyifatkan adalah penting bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH) membenarkan parti Umno terus berada di negara ini atas tiket ‘demokrasi’, namun politik kotor parti tersebut perlu dibanteras.

Beliau berkata, kerajaan seharusnya menggesa pihak berkuasa menyiasat sumber dana yang masih dinikmati pemimpin-pemimpin dalam parti Umno itu.

“Pendaftaran Umno sebagai parti politik tertua di Malaysia tidak harus diharamkan berdasarkan kesalahan beberapa pemimpinnya.

“Kerajaan PH harus mengambil langkah bijak dengan memberikan masa yang cukup untuk parti tersebut (Umno) memperbaiki kesalahannya.

“Pada masa sama, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (Ros) juga perlu berurusan dengan Umno dan memberi panduan kepada parti itu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad pada semalam, yang mempersoalkan mengapa Umno masih beroperasi dan tidak diharamkan walaupun pemimpinnya berdepan banyak tuduhan salah laku.

Mengulas lanjut, Lim berkata, masyarakat kini berada dalam keadaan politik yang semakin tidak sihat seperti kewujudan berita palsu dan provokasi kaum yang disebarkan menerusi media sosial.

“Jadi, sesetengh pihak pasti mengambil kesempatan untuk menyalahkan DAP dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina sekiranya Umno diharamkan.

“Sebahagian pemimpin Umno pasti akan menuduh DAP dan NGO Cina yang lain sebagai dalang di sebalik pembatalan pendaftarannya, walaupun ia dilakukan mengikut proses yang profesional dan berlandaskan undang-undang oleh Ros.

“Sesetengah kumpulan pula dilihat akan menggunakan pembatalan pendaftaran parti Umno untuk memainkan sentimen agama dan perkauman. Maka, kesannya negara kita akan lebih berpecah belah,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Lim berkata, penyediaan peluang pekerjaan yang mencukupi buat rakyat menjana ekonomi negara adalah lebih penting bagi kerajaan PH menawan hati ahli Umno.

“Apabila taraf hidup mereka lebih baik di bawah pentadbiran kerajaan PH, dengan sendirinya ahli Umno akan meninggalkan parti tersebut,” katanya lagi.