Pilih Bersatu atau Umno? Itu yang diasak Umno Kelantan kepada Pas yang dianggap banyak pihak berada dalam dua ‘kolam’ politik.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bagaimanapun berkata, Umno Kelantan tidak boleh mengikat partinya untuk membuat pilihan.
Mohd Amar yang juga Naib Presiden Pas menegaskan pendirian Pas Kelantan masih sama dengan ketetapan yang dibuat Presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang iaitu menyokong Perikatan Nasional (PN) dan mempertahankan Muafakat Nasional (MN).
“Tak boleh begitu… tak sepatutnya dia (Umno) nak ikat kita, nak suruh kita pilih antara dua… tak betul cara berfikir politik begitu.
“Masa depan negara macam mana pula? Kalau kita (Pas) minta dia (Umno) pilih dan letak syarat, saya rasa kena toleransilah, kita tengok 22 hari bulan (Januari),” dipetik Awani.
Mohd Amar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuan antara pucuk pimpinan Pas dan Umno Kelantan pada 22 Januari ini.
Untuk rekod, Pas telah memeterai kerjasama politik dengan Umno melalui MN dalam Himpunan Penyatuan Ummah di Dewan Merdeka PWTC pada 14 September 2019.
Bagaimanapun, Pas dilihat ‘mesra’ dengan Bersatu yang mengepalai PN termasuk terbaharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November lalu.
Pas memilih untuk bersama PN sekali gus dilihat membelakangkan Umno malah bertembung dengan Umno di tujuh kerusi DUN.
Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menegaskan, Umno mahukan kepastian hala tuju Pas sebelum perancangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dibincangkan.