Malaysia Dateline

‘Umno tidak perlu menari mengikut rentak orang lain’

Keputusan dasar Perhimpunan Agung Umno 2019 untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan PKR dan DAP masih terpakai, kata Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan.

Sehubungan itu, katanya, terpulang pada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih mahu mencanang kononnya ada rundingan dan kerjasama rasmi politik dengan Umno.

“Itu adalah hak beliau untuk bercakap sepertimana selama ini beliau tak henti-henti mengatakan bahawa beliau ada majoriti di Parlimen.

“Kita tidak perlu menari mengikut rentak orang lain sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada pengukuhan dalaman parti sendiri, disamping berusaha keras memenangi keyakinan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, matlamat parti tentunya untuk memenangi sokongan rakyat dengan tawaran dan visi yang lebih baik dari pesaing Umno.

Bagaimanapun, Shahril menegaskan Umno tidak akan mampu beroleh kedudukan dominan sepertimana diharapkan tanpa sokongan rakyat.

Anwar sebelum ini mendedahkan telah wujud perbincangan tidak rasmi antara PKR dan Umno dengan perbincangan awal melibatkan pimpinan kedua-dua parti itu telah menunjukkan perkembangan positif.