Malaysia Dateline

Umno tidak perlu sertai Bersatu, kata Zahid Hamidi

Umno tidak perlu menyertai Bersatu meskipun parti tersebut berdepan tindakan dibubarkan oleh kerajaan, kata Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, beliau yakin terdapat kaedah lain untuk ahli-ahli Umno terus berada dalam parti.

“Ucapan (Tun Dr. Mahathir Mohamad) yang menawarkan ahli Umno memperkukuhkan perpaduan Melayu kerana kita memiliki majoriti yang besar namun disebabkan berpecah kepada enam parti, maka kerusi Melayu dan kawasan Melayu terhakis.

“Kalau tidak mahu perpecahan (Melayu) berlaku, bubarkan Bersatu dan AMANAH kerana daripada enam parti itu adalah parti ini.

“Bubarkan Bersatu dan AMANAH, bukannya bubarkan Umno kerana kita parti yang besar,” katanya ketika berucap semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Tambun di Bangunan Umno negeri di Ipoh hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menolak untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang mengetepikan hak orang Islam dan Melayu.

Pendirian Umno itu jelas, tegasnya, walaupun terdapat tawaran daripada tokoh mahupun parti politik tertentu untuk parti pembangkang tersebut menyertai mereka.

“Kita akan menolak bukan sahaja tokoh tetapi mana-mana parti yang mengadakan kerjasama dengan parti yang mengetepikan orang Islam dan Melayu serta mahu melaksanakan Malaysian Malaysia.

“Biarpun tokoh itu dalam kerajaan sekarang mahupun masih belum dalam kerajaan, selagi mereka bekerjasama dengan parti berkenaan, kita akan menolak sebarang kerjasama,” kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu blagi.

Untuk rekod, Umno pada masa ini mempunyai 38 kerusi Parlimen manakala Bersatu (26) dan AMANAH 11 kerusi Parlimen.