Malaysia Dateline

Umno tidak pernah mengecewakan

Semenjak saya mengenali politik, saya akan mengikuti perkembangan PAU untuk memahami pschye politik Melayu Umno. Retorik mereka diperlambangkan melalui ucapan, respons, pemilihan ayat dan penggulungan pimpinan yang sejak berdekad adalah juga parti yang memerintah negara.

PAU 2020 kali ini menarik dari sudut perkembangan politik semasa di mana Umno dilihat sebagai ‘mangsa buli’ Perikatan Nasional dan pada masa hubungan mereka dengan Pas dicurigai. PH pula dikatakan intai-intai prospek kerjasama politik untuk memulihkan kedurjanaan PN terhadap politik negara.

Umno dilihat berpecah atas keputusan mereka menyokong PN pada awalnya dan kemudian berkembang menjadi sokongan bersyarat dan akhirnya hubungan tegang dengan nada ugutan dan ancaman kepada Perikatan Nasional. Suasana PAU dilatari dengan jalan cerita maruah, citra dan kemuliaan perjuangan Melayu versi Umno.

Apa pun, saya sempat mengikuti hampir keseluruhan ucapan Presiden Umno yang beliau sendiri terpalit dengan 46 dakwaan pecah amanah, rasuah ke atas beliau. Saya mengikuti juga sebahagian penggulungan Presiden hari ke dua PAU.

Saya menjangkakan ucapan yang boleh memulihkan imej Umno yang tercalar paling teruk dalam PRU lepas. Saya menjangkakan ucapan yang membawa halatuju ke hadapan untuk pulihkan negara, pemulihan secara berinstitusi, apatah lagi penekanan kepada reformasi perundangan berkait tentang rasuah politik, parlimen lebih bebas dan sedikit sentuhan negarawan kepada kemelut politik negara.

Saya hanya mendengar retorik Melayu kuno Umno, retorik perlu menang PRU dan retorik mahu jadi dominon. Beliau seolah beromantika dengan kegemilangan Umno/BN tanpa berpijak kepada realiti perubahan lanskap politik yang sudah berubah.

Retorik Melayu-Islam Umno masih dalam kepompong mentaliti terjerat menyalahkan semua orang kecuali dia. Saling tak tumpah retro fitnah Melayu terancam, Institusi Raja Melayu terancam dan Harta Umat Islam dilelong dengan contoh klasik Tabung Haji. 22 bulan PH katanya berlaku semua ini, walaupun semua tahu ia adalah fitnah yang sudahpun dijawab beberapa kali, khususnya fitnah terhadap Tabung Haji yang kini kembali ke landasannya setelah dinodai oleh kepincangan pengurusan bawah kerajaan Melayu Umno!

Saya tidak pelik dengan semua retro Melayu-Islam ini kerana ia adalah ‘nyawa umno’, saya cuma kecewa Umno tidak memberi nafas baru kepada naratif Melayunya, ini bermakna politik Melayu akan kekal dikepung oleh kesempitan nafas perjuangan Umno. Mengeluarkan Melayu dari jerat ini adalah tahap yang lebih mencabar dengan usaha menggagaskan perspektif Melayu yang didasari atas naratif Islam Rahmat untuk semua.

Mengikuti PAU terkini hanya mengimbau romantika Melayu-Islam yang mengulit orang Melayu dengan mimpi yang indah sehingga mereka lupa siapakah yang sebenarnya telah mengkhianati orang Melayu dan institusinya. Apakah Presiden Umno hilang fokus kerana kes rasuahnya yang sedang berjalan lalu mengheret PAU kali ini dengan naratif nostalgia silam? Sebagai pembaca politik dan pengamal politik, saya rasa Umno sudah hilang dayanya dengan nafas baru yang lebih segar dan kompetetif

Umno sememangnya tidak pernah tidak mengecewakan sesuai dengan slogannya Dulu, Kini dan Selamanya…