Kini berlambak spekulasi mengatakan paling awal hari ini Umno akan buat keputusan akan meninggalkan kerajaan PN. Maaf saya masih was-was dengan spekulasi ini.
Umno tidak “sejantan” yang difikirkan berpandukan kepada beberapa tindakannya sebelum ini yang berubah-rubah dan tidak berprinsip.
Ingat kejadian awal, Umno macam nak rak menuntut agar Parlimen dibubarkan dan pilihan raya diadakan. Apabila ada pejajaran baru, Umno mengubah kiblat dengan menyokong Mahiaddin Md Yassin melakukan kudeta menumbangkan kerajaan PH.
Permainan awal itu telah menyerlahkan kelemahan dan tidak jantannya Umno sekaligus ia dijadikan tikus oleh sang kucing.
Demikian dengan perkembangan terbaharu yang menjadi perhatian umum kini. Kalau pun ada keputuan mengejut daripada Umno, esok atau lusa, bukan meninggalkan kerajaan PN, sebaliknya kenyataan menyokong penuh kerajaan itu sehingga Parlimen dibubarkan.
Yang nampak kurang senang dengan kerajaan PN khasnya Mahiaddin ialah Zahid Hamidi kerana Mahiaddin seperti tidak membela dalam kesnya. Kalau Mahiaddin menawarkan “khidmat” Zahid boleh ‘cair’.
Namun, mereka yang lain, terutamanya yang berada dalam kerajaan masih dan sungguh seronok dengan Mahiaddin. Tidak percaya tanya Khairy Jamaluddin, Annuar Musa dan lain-lain.
Permainan tarik tali berlaku. Dalam hal ini, saya nampak Zahid sudah tewas. Kelmarin, beliau turut hadir ke suatu perjumpaan di Wista Perwira, di sana ada pertemuan dengan pimpinan Umno dan juga Ahli Parlimennya. Kenapa perjumpaan perlu diadakan di situ bukannya di ibu pejabat Umno?
Wisma Perwira adalah premis Kementerian Pertahanan yang menterinya Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno. Ertinya perjumpaan itu diadakan di ‘rumah’ Ismail Sabri.
Kedatangan Zahid itu sebagai tetamu yang kena padah sahaja. Jelas, semangat pertemuan itu Ismail telah menguasai kepimpinan Umno dan apa-apa keputusan dimuktamadkan hari ini pastilah mirip kepada apa yang Mail Sabri inginkan. Logiknya begitu.
Zahid tidak patut menghadiri pertemuan diadakan di tempat terkecuali itu, beliau patut membawanya ke PWTC. Di situlah menampakkan Zahid sudah tidak bermaya.