Malaysia Dateline

Umno tolak PN dalam PRU-15, teguh bersama BN

Selepas memuktamadkan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu, kini Umno  mengambil pendirian menolak pembentukan gabungan politik Perikatan Nasional (PN) dalam PRU-15 dan berdiri teguh memperkasa Barisan Nasional (BN).

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu bukan sekadar sebuah ketetapan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT), tetapi lahir daripada suara di peringkat akar umbi pada Perhimpunan Agung Umno 2020.

“Kesimpulannya kesemua ketetapan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 itu adalah berfokuskan kepada PRU-15 yang akan diadakan sejurus pandemik Covid-19 dapat ditangani,” kata beliau dalam kenyataan.

Katanya, PRU15 sangat penting bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat demi mewujudkan kestabilan politik yang kukuh di negara ini.

Kata Zahid, pembentukan kerajaan Keluarga Malaysia sejurus kerajaan PN tumbang Ogos lalu adalah bagi memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan.

“Kelangsungan pentadbiran sebuah kerajaan yang cuma bersifat sementara sebelum Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU-15.

“Kerajaan sementara ini ditubuhkan dengan pertimbangan suasana politik yang masih tidak stabil sedangkan rakyat diancam pandemik COVID-19,”kata beliau.

Umno, katanya perlu mengutamakan rakyat pada setiap masa sama ada dalam jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang.

“Begitu juga menjunjung kasih titah Raja-Raja Pemerintah.

“InsyaAllah kita yakin Umno dengan strategi dan gerak kerja yang telah dan sedang diatur akan mengembalikan kerajaan BN sebagai tonggak pentadbiran negara pada PRU-15,” tambahnya lagi.

Sebelum itu, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hassan mengulangi pendirian bahawa keputusan PAU 2020, yang membuat ketetapan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15.

Menurut Mohamad Hasan, pendirian itu adalah muktamad dan hanya boleh diubah melalui perhimpunan agung parti itu.