Malaysia Dateline

Umno tuduh PPBM curi, beli ahli

Belum cukup setahun kerajaan tebuk atap Perikatan Nasional (PN), Umno secara terbuka menyerang Bersatu berhubung dakwaan ‘mencuri’ ahli.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sejak beberapa bulan lalu amat banyak aduan dan keresahan dalam kalangan ahli dan pimpinan Umno akar umbi di seluruh negara yang mendakwa PPBM galak ‘mencuri’ dan ‘membeli’ ahli Umno.

“Ada yang mengaku bahawa setiap yang menyertai PPBM dibayar sehingga RM100, setiap cawangan yang ditubuh diperuntukkan RM3,000 sehingga RM5,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, fenomena ‘curi’ dan ‘beli’ ahli Umno jika diteruskan akan mengesahkan segala persepsi dan dakwaan selama ini bahawa matlamat PPBM ditubuhkan dan kewujudan gabungan besar PN hanya untuk melemahkan dan menggantikan Umno.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menyasarkan untuk mempunyai 8,000 cawangan di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Hamzah juga berkata, PPBM tiada memujuk ahli Umno untuk menyertai parti bunga raya itu sebaliknya kemasukan adalah terbuka kepada sesiapa saja.

Katanya lagi, terpulang kepada pilihan masing-masing memandangkan PPBM dan Umno masih bawah satu bumbung dalam kerajaan PN.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi menganggap Hamzah tidak wajar menambahkan lagi minyak ke dalam api yang sedang membara.

Katanya, hubungan Umno-PPBM di peringkat akar umbi sudah sedia semakin panas dan getir lantaran perebutan dan ‘kecurian’ ahli yang semakin menjadi-jadi.

Sehubungan itu, kenyataan pimpinan tertinggi PPBM itu, tegasnya, seperti tiada rasa bersalah bahkan mempertahankan kemasukan ahli Umno ke dalam PPBM.

Menurutnya, kenyataan Hamzah hanya akan menyebabkan hubungan Umno-PPBM makin meruncing dan membarah.

Untuk rekod, Umno pada masa ini mempunyai 39 kerusi berbanding 31 kerusi Parlimen dimiliki Bersatu.

Namun, kerajaan ‘tebuk atap’ Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin itu menyaksikan portfolio kementerian strategik atau paling penting diberi kepada PPBM.