Malaysia Dateline

Umno urus Bantuan Ihsan Covid-19 Johor

Hari ini tular surat dari Umno Bahagian Ayer Hitam yang meminta agar penduduk untuk mengisi borang yang disediakan oleh mereka.

Dalam borang tersebut jelas memaparkan proses bantuan daripada kerajaan negeri Johor melalui Bantuan Ihsan Covid-19 negeri Johor yang diuruskan oleh Umno Bahagian berkenaan.

Mengulas perkara tersebut, Adun Serom, Dr Faizul Amri berkata, tindakan yang dilakukan oleh kerajaan negeri jelas bertentangan dengan apa yang dicanangkan mereka sebelum ini.

“Sebelum ini kita lihat bagaimana Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad dalam satu kenyataan telah menyatakan urusan bantuan tersebut tidak membabitkan mana-mana badan politik.

“Sebelum ini juga Perdana Menteri dan pimpinan tertinggi di negara ini telah berulang kali menyebut soal jangan mempolitikkan bantuan kepada rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dalam kedua-dua perkara ini, jelas apa yang dikatakan oleh pimpinan dari PN hari ini hanya suatu perkara yang jelas membohongi rakyat terutamanya di negeri ini,” tegasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Sehubungan dengan itu, Dr Faizul menyatakan bahawa tindakan lanjut perlu dijalankan untuk mencari ketelusan dalam menyampaikan bantuan kepada rakyat.

Tambahnya lagi, hal ini jelas disalah gunakan oleh kerajaan hari ini dalam menyalurkan bantuan serta mempergunakan kesempatan yang ada untuk berkempen.

“Kita akan panjangkan perkara ini kerana kita khuatir akan wujudnya kes-kes seperti penyelewengan dana kerajaan kepada parti-parti politik di bawah kerajaan.

“Selain itu, kita bertegas untuk menyatakan jangan mengambil kesempatan di atas kesempitan rakyat dalam masa sekarang ini.

“Saya juga akan membawa suara ini ke Sidang Dewan Negeri (Dun) Johor untuk kerajaan menjawab bagaimana perkara ini boleh berlaku,” tegas Dr Faizul lagi.