Malaysia Dateline

Umno usah belakangi tanggungjawab kolektif dalam PN

Umno baru-baru ini dilihat cuba ‘membebaskan diri’ daripada terpalit sama dengan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam memerangi Covid-19 yang setakat semalam telah berjumlah 572,357 kes.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, mengaitkan Umno dengan kegagalan kerajaan PN menangani Covid-19 merupakan satu tuduhan yang tidak adil.

Walaupun terdapat beberapa ahli Parlimen daripada Umno menganggotai kerajaan PN, kata beliau, ia tidak bermaksud parti itu terlibat dalam penentuan dasar negara.

Selain Ahmad Zahid yang dituduh terlibat dalam pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi itu, beberapa pemimpin lain turut menghalakan kritikan terhadap dasar-dasar kerajaan PN.

Persoalannya, mengapa kenyataan-kenyataan tersebut dikeluarkan Umno ketika hakikatnya, berdiri kerajaan PN hari ini adalah hasil daripada sokongan parti teras Barisan Nasional (BN) itu sendiri.

Perlu diingatkan juga bahawa Umno adalah sebahagian daripada kerajaan PN dan ramai pemimpin parti tersebut memegang jawatan di kementerian yang penting.

Antaranya ialah Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi, Khairy Jamaluddin.

Sehubungan itu, boleh dikatakan bahawa kementerian-kementerian yang dikepalai pemimpin-pemimpin Umno tersebut terlibat dalam hal ehwal prosedur operasi standard (SOP), kesihatan awam dan dasar-dasar vaksinasi.

Dalam keadaan ini, Umno tidak boleh membelakangi tanggungjawab kolektif dalam kerajaan.

Sepertimana tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Chiong Yoke Kong, Umno perlu belajar daripada rakan BN iaitu MCA dan MIC.

“Sekurang-kurangnya MCA dan MIC memahami kepentingan tanggungjawab kolektif, mereka mencuba sedaya upaya untuk menghebahkan (publicize) kerajaan PN walaupun sebahagian besar daripada dasar melawan Covid-19 kerajaan telah gagal,” katanya.

Tegasnya, Umno perlu menerima hakikat ia adalah sebahagian daripada ‘Kerajaan Gagal’.

Justeru, tambahnya, Umno perlu berhenti berpolitik dan mengabaikan kepentingan rakyat di tengah-tengah keadaan pandemik yang semakin memburuk.

“Saya menyeru kerajaan PN untuk membuka semula Parlimen dan menjemput pemimpin-pemimpin pembangkang ke dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ini adalah untuk membincangkan pendekatan berkesan untuk memerangi pandemik ini dan menyelamatkan Malaysia bersama,” katanya lagi.