Umno yakin Hadi tolak cadangan Tuan Ibrahim

Belum sampai 24 jam cadangan ‘gencatan serangan’ di antara parti pembangkang bagi menumpukan usaha untuk menumbangkan BN dicadangkan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, seorang ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Shamsul Anuar Nasarah yakin cadangan itu akan ditolak presiden Pas.

Malah Tuan Ibrahim dalam artikel terbarunya yang turut disiarkan Malaysia Dateline masih memperteguhkan keyakinan bahawa Pas rela bersendirian bila mana dasar Pas dipertikai dan ditentang oleh rakan tahaluf (pakatan politik).

Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur, Shamsul Anuar berkata saranan Tuan Ibrahim itu sukar untuk menjadi pendirian rasmi parti.

Malah tambah beliau, sejarah banyak membuktikan pandangan timbalan presiden ditolak oleh presiden.

Tuan Ibrahim semalam menyeru parti pembangkang berdamai dan menumpukan kepada usaha menumbangkan BN.

“Rakyat ramai keliru dan ada yang ketawa sendirian dan ada yang menggeleng kepala melihat keadaan politik pembangkang hari ini.

“Semua tersekat di dalam lumpur. Nak ke depan tak jelas jalan mana. Nak undur ke belakang rasa nak ke hadapan. Nak kekal tak jadi sebab dah tahu pasti tenggelam,” katanya.

Bagaimanapun dalam bahagian kedua artikel Tuan Ibrahim yang diterbitkan hari ini, beliau menegaskan keyakinan Pas bahawa hanya Islam dapat menjamin keadilan sejagat, keharmonian negara dan memperkasakan perpaduan antara rakyat berbilang kaum.

“Pas rugi jika istiqamah mendaulatkan Islam ini terhenti. Selagi istiqamah ini berterusan, Pas tidak akan rugi termasuklah dalam kerjasama politik.  

“Kita berjuang kerana Islam dan untuk Islam. Inilah nilai perjuangan Islam yang menjadi pegangan kita. Inilah erti berjuang kerana Allah. yang membezakan Pas daripada parti-parti yang lain.

“Seperti yang disebut di artikel yang lepas, perbezaan ini perlu dihormati dan tidak perlu menjadi titik pertikaian. Sejarah membuktikan bahawa PAS rela bersendirian bila mana dasar PAS dipertikai dan ditentang oleh rakan tahaluf,” ujar Tuan Ibrahim.

COMMENTS

Wordpress (0)