Malaysia Dateline

Umno yakin rampas semula Terengganu dalam PRU akan datang

Umno Terengganu yakin parti itu dapat merampas semula kerajaan negeri itu daripada Pas jika mereka bertanding di semua kerusi DUN – serta parlimen – pada pilihan raya umum akan datang, lapor Malaysiakini.

Pengerusi Umno Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata pentadbiran negeri itu boleh bertukar tangan jika dilihat dengan rekod keputusan PRU sebelum ini.

Ini bukan kali pertama Ahmad melahirkan keyakinan dan kesediaan parti itu untuk bertanding semua kerusi di Terengganu dan tidak akan bekerjasama dengan Pas kerana Umno tidak yakin dengan keikhlasan parti itu.

Bekas menteri besar Terengganu itu membuat perbandingan antara PRU ke-10 (pada 1999) dan PRU ke-11 (pada 2004) membabitkan Umno dan Pas.

Pada 1999 kerajaan Terengganu jatuh ke tangan Pas yang ketika itu bekerjasama dengan PKR. Ia sedikit sebanyak dipengaruhi oleh gerakan reformasi ekoran penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Umno.

Bagaimanapun BN kembali merampas Terengganu dengan jumlah kerusi yang kukuh pada PRU berikutnya dan Pas kembali menjadi pembangkang.

Kata Ahmad Umno memang yakin mampu memenangi semua kerusi yang ditandinginya nanti.

“Kita yakinlah sebab kita tengok Terengganu ni, sejarah dia… Pas perintah satu penggal saja,” katanya apabila ditanya tahap keyakinan Umno Terengganu dalam merampas semula kerajaan negeri.

“Contohnya pada 1999 kita kalah 28-4 (kepada Pas). Umno hanya tinggal empat kerusi, tapi bila 2004, apabila Pas tak mampu menunaikan tanggungjawab (seperti) Umno (lakukan) sebelum itu, kita ambil 28-4. (Perubahan) 360 darjah berpusing,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Bagi Ahmad, tidak wajar Umno memberikan kesemua 22 kerusi yang dimenangi Pas dalam pilihan raya lalu (2018) kepada parti itu padahal Pas hanya menang sekali sahaja sedang sebelum ini ia adalah kerusi Umno.

“Takkan dia (Pas) menang sekali kita nak beri terus kepada dia? Lagipun Terengganu ni kan ‘negeri yoyo’… Ia (pentadbiran) boleh berubah macam-macam.

“(Perkara sama) pernah berlaku di Kedah, sama juga – sekali (Pas) menang lepas tu Umno menang balik,” katanya kepada laman web itu.

Pas menang 22 kerusi Dun dalam PRU – 14 lalu manakala Umno melalui BN menang hanya 10 kerusi sahaja.