Malaysia Dateline

Umno yang ‘bunuh’ Utusan, ‘gadaikan’ Media Prima, kata Mahfuz

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hassan bagaikan tiada modal apabila menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung isu pemberhentian beramai-ramai pekerja Media Prima dan penutupan operasi Kumpulan Syarikat Utusan Malaysia.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar, berkata, Utusan Melayu ‘dibunuh’ oleh kerana Umno yang merupakan pemegang saham terbesar syarikat kumpulan itu, telah menjual asetnya kepada bekas Ahli Parlimen Kulim- Bandar Baru, Abd Aziz Sheikh Fadzir.

Beliau berkata, sebelum syarikat tersebut gulung tikar, sememangnya pemberhentian pekerja pernah dilakukan dan penjualan saham tersebut adalah ‘trick’ untuk membuang lebih ramai pekerja.

“Dia yang membunuh utusan Melayu, dia yang merosakkan utusan Melayu dan akhirnya dia lah juga yang menjadi punca sehingga terpaksa digulung (gulung tikar). Umno lah yang juga menggadai kumpulan Media Prima.

“Kumpulan utusan ini adalah milik Umno, share Umno itu dijual kepada seorang individu yang dahulunya dilantik menjadi Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu iaitu Datuk Aziz Sheikh Fadzir.

“Ini semua trick bagi saya untuk menganiayai, mengambil langkah membuang dan memberhentikan para pekerja. Malah sebelum digulung, mereka telah pun memberhentikan pekerja,” katanya kepada Malaysia dateline.

Terdahulu, Mohamad Hassan mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) ‘menjual mimpi’ sedangkan hakikatnya, ekonomi negara sudah tidak semakmur semasa pentadbiran BN hingga menyebabkan ramai rakyat kehilangan pekerjaan.

Merujuk beberapa kejadian, termasuk terbaru mengenai pengecilan operasi Media Prima, katanya semua pemberhentian itu adalah kerana sikap tidak peduli kerajaan.

Namun menurut Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, pemberhentian lebih 500 orang pekerja Media Prima setelah Umno yang – menguasai sebahagian rangkaian akhbar dan stesen TV swasta di negara ini – telah menjual sebahagian besar kepentingannya pada individu lain.

Malah katanya, pengambil alihan tersebut menyebabkan pengecilan jumlah pekerja dilakukan, di mana kerajaan tiada hak untuk masuk campur dalam urusan perniagaan tersebut.

“Saya difahamkan bahawa kumpulan Media Prima ini, Umno yang menjadi sebahagian dari pemegang saham dalam tu, telah menjual sebahagian besar ‘share’ dia.

“Ini menyebabkan orang lain yang ambil alih. Jadi apabila mereka nak memperkecilkan (jumlah pekerja), itu kerajaan tak boleh buat apa-apa kerana ini soal ‘bisnes’ perniagaan yang dikuasai individu tersebut,” jelasnya.

Dengan dakwaan yang dilemparkan, Mahfuz berkata kerajaan sebaliknya telah mengambil tanggungjawab menyelamatkan pekerja-pekerja tersebut dengan penyediaan Skim Insuran Pekerjaan (SIP).

Menurutnya, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia, Perkeso, Jabatan Pembangunan dan Perhubungan Perusahaan, akan terus memastikan pekerja yang diberhentikan mendapat pembelaan sewajarnya.

“Melalui Skim Insuran Pekerjaan (SIP) yang ada dalam Perkeso bagi menampung, membiayai pekerja-pekerja ini, kita kemudiannya cuba untuk mencari pekerjaan baru bagi mereka yang diberhentikan.

“Kita cuba mencari peluang pekerjaan baru untuk membantu mereka mendapatkan pekerjaan semula jika mereka hendak terus bekerja. Nak masuk pasaran kerja balik, kita akan bantu mereka.

“Jadi saya harap masyarakat melayu insaf dan tidak lagi bersama dengan Umno, kerana mereka gagal dalam menjaga kepentingan Melayu. Tetapi hari ini, mereka lah menjerit bahawa kononnya seolah-olah mereka lah hero yang memperjuangkan Melayu,” ujarnya.