Malaysia Dateline

UMNOSiswa conteng imej mahasiswa di Slim

Kempen yang berlangsung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim menjadi lagi hangat apabila kehadiran 80 ahli kelab mahasiswa Umno (UMNOSiswa) mula untuk berkampung di sana bagi memeriahkan lagi suasana di dalam membantu jentera Barisan Nasional menyokong calon mereka yang bertanding di kawasan tersebut.

Namun, kemeriahan itu sudah pudar apabila gerakan jentera UMNOSiswa telah menghakis mentaliti seorang mahasiswa itu sendiri dengan menunjukkan imej yang tidak baik ketika berkempen di Slim.

“Tidak salah untuk berkempen demi menunjukkan semangat kepada calon parti. Tetapi dengan cara mengangkat poster yang menghina pihak lawan dan memberi kata-kata kesat di dalam poster itu langsung tidak menunjukkan seorang ahli politik yang matang dan berpendidikan,” kata Ahli Mahasiswa Keadilan UKM, Hamaz Nafiz.

“Kalian merupakan imej kepada anak bangsa dan harus menunjukkan contoh yang baik kepada kami yang merupakan mahasiswa biasa yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi. Jangan disebabkan ‘nila setitik rosak susu sebelanga’.

“Daripada berfikir untuk kemenangan di Slim, lebih baik kalian fikir tentang kebajikan dan hak mahasiswa yang belum diselesaikan sekarang ini. Biarlah politik di peringkat nasional itu, terserah tangan kepada mereka yang lagi berpengalaman,” katanya lagi.

Ramai mahasiswa yang menyuarakan pendapat yang sama walaupun ada daripadanya merupakan ahli di dalam UMNOSiwa yang tidak turut serta berkempen di sana berasa malu dan kesal di atas kelakuan sesetangah ahli UMNOSiswa yang berkempen di Slim.

Kata mereka, hal ini bukan sahaja akan memburukkan imej mahasiswa itu sendiri, malah ia akan memburukkan juga imej parti tersebut dan pihak kampus itu sendiri.

“Jika UMNOSiswa merupakan gerakan yang membela hak mahasiswa, baiklah fikir lebih mendalam dan letakkan kebajikan mahasiswa itu yang lebih utama.

“Dengan ini, mahasiswa lain akan lebih percaya dan sentiasa akan menyokong anda sebagai penggerak kami di peringkat kampus. Saya harap UMNOSiswa yang berkempen di Slim untuk pulang dan bantu mahasiswa yang masih berada di kampus atau yang akan masuk ke alam universiti tak lama lagi,”katanya.