Malaysia Dateline

Umum dana tambahan jaga kebajikan pelajar akur PKP

Pemuda AMANAH Nasional menggesa kerajaan benar-benar menjaga kebajikan kumpulan mahasiswa yang kekal di institusi pengajian tinggi (IPT) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga yang bermula esok.

Exconya, Khairol Najib Hashim berkata, terdapat aduan yang diterima dari beberapa IPT bahawa kebajikan mahasiswa yang akur dengan arahan PKP untuk kekal berada di kolej-kolej kediaman dan rumah sewa di luar kampus terutama berkaitan penyediaan makan dan minum.

“Kami ingin menggesa pihak kerajaan dapat menyalurkan sumber kewangan yang mencukupi kepada IPT-IPT ini untuk menjaga kebajikan mereka selaras dengan pengumuman yang dibuat.

“Ini kerana terdapat IPT yang terpaksa membuat kutipan kewangan tambahan dalam kalangan staf universiti dan sumber-sumber lain untuk menampung kos makan dan minum pelajar mereka,” ujar Khairol Najib dalam kenyataannya hari ini.

Tegasnya, kerajaan tidak harus menyerahkan semua urusan dan sumber kewangan kepada pengurusan universiti sepenuhnya memandangkan universiti juga mengalami masalah dalam mencari peruntukan dana bagi memenuhi keperluan tersebut.

Sehubungan itu, Ketua Pemuda AMANAH Perak tersebut berharap kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan secara khusus kepada IPT-IPT terlibat sebagai jaminan bahawa sumber kewangan bagi menjaga kebajikan mahasiswa benar-benar diberi perhatian dan keutamaan dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub dalam sidang medianya berkata, penuntut IPT awam, swasta dan kolej komuniti akan kekal berada di kampus kediaman masing-masing sepanjang PKP fasa ketiga.

Pada 10 April lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, pihaknya akan meneliti kaedah terbaik untuk menghantar pulang pelajar yang masih berada di kampus ke rumah masing-masing.