Umum segera calon Pas di Dun Seri Setia strategi BN tarik undi Pas di Sungai Kandis

Umum segera calon Pas di Dun Seri Setia strategi BN tarik undi Pas di Sungai Kandis

Dalam tempoh kurang daripada 24 jam sebelum berakhirnya kempen pada tengah malam ini dan pembuangan undi esok, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lokman Noor Adam mengharapkan dengan pengumuman calon Pas diberikan peluang bertanding di kerusi Dun Seri Setia akan dapat menarik sokongan ahli Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.

“Harapan saya pengundi di Sungai Kandis akan keluar lebih 80 peratus dengan pengumuman itu.

” Saya menyambut baik keputusan dibuat Umno-BN yang bersetuju PRK Seri Setia kita beri laluan kepada Pas dan kita semua akan bekerja keras untuk pastikan calon Pas menang di Seri Setia.

“Jika kita menang atau tak menang esok, kita redha dan BN akan pastikan Pas akan menang di Seri Setia kelak,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline di Kampung Sungai Kandis, hari ini.

Lokman Adam juga berkata, jentera pilihan raya dan penyokong BN hanya dibenarkan berkempen sehingga jam 6 petang ini.

“Saya harapkan semua sekali jentera dan penyokong parti bertahan sehingga jam 6 petang ini untuk berkempen. Kita tak mahu lepas jam 12 malam nanti.

“Apabila tempoh berkempen tamat, kita tidak mahu mereka balik, sebab jika mereka balik, dibimbangi Pakatan Harapan akan bawa masuk jentera mereka esok awal pagi di pusat-pusat pengundian, seolah-olah rakyat sudah menyokong Pakatan Harapan,” ujarnya.

Beliau sebelum itu hadir dalam ‘flash mob’ di Jalan Kampung Sungai Kandis bersama lebih kurang 20 penyokong BN petang ini.

Beliau diminta mengulas pengumuman Timbalan Presiden Umno Datuk Mohamad Hassan bahawa parti itu memberi laluan kepada calon Pas di Dun Seri Setia susulan kematian wakil rakyatnya Dr Shaharuddin Badaruddin semalam.

 

N.Gobalakrisnan (kiri) dan Tun Faizal Ismail (tiga dari kiri) ketika berbual dengan penulis mengenai kempen hari terakhir  jentera BN  dengan  menyasarkan akan berlaku lonjakan terhadap pengundi Pas  di Sungai Kandis untuk mengundi calon BN.

Turut hadir Ketua Cawangan MIC Padang Serai N. Gobalakrisnan yang keluar dari PKR pada 2011 kembali semula ke dalam MIC sejak tiga hari lalu, berkata, beliau, berkeyakinan sokongan sudah mula kelihatan terhadap calon BN pada PRK Sungai Kandis.

“Selama lima hari berkempen saya dapati memang ada perasaan untuk menunjukkan calon BN sebagai pembangkang di dewan undangan negeri.

“Saya harap Datuk Lokman boleh menang kerana pengundi di sini sudah mula menyedari tipu helah Pakatan Harapan terhadap janji-janji manifesto mereka yang menyebabkan rakyat semakin tertekan dengan dasar baharu Pakatan Harapan,” ujarnya.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Tun Faizal Ismail Aziz pula berkata, beliau tidak menafikan dengan memberi peluang Pas meletakkan calonnya di Dun Seri Setia ia perlu dilihat positif.

“Ia boleh menangkis pandangan  kononnya Umno dan Pas satu pakatan yang tidak menguntungkan orang Melayu. Dengan memberi laluan kepada Pas, pengundi di dua dun (Sungai Kandis dan Seri Setia) melihat keikhlasan Umno untuk sepakatan demi orang Melayu dan Islam.

“Orang Islam yang harap perpaduan sesama umat Islam mengalukannya dan matlamatnya untuk bersatu mencapai matlamat lebih besar.

“Dulu kerjasama Pas-Dap-PKR macam ideloginya tidak sama. Tetapi kerjasama Pas-Umno tidak jauh berbeza. Matlamat antara Pas dan Umno dilihat lebih serasi banding Pakatan Rakyat (PR).

“Kerjasama ini dilihat sebagai harapan baharu bagi sebahagian ahli Umno-Pas,” ujarnya yang tidak menafikan apabila berlaku kekosongan kerusi di Dun Seri Setia itu sudah dijangka BN akan pasti memberi laluan kepada Pas.

Tambahnya:” cuma kita tak sangka ‘giliran’ cepat (berlaku dalam tempoh terdekat).” ujarnya lagi.

Esok akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni  dengan calon BN Datuk Lokman Noor Adam dan calon bebas K.Murty pada PRK Sunga Kandis.

Kempen BN turut diakhiri dengan mengadakan  Kenduri Rakyat di 6  buah Pusat Daerah Mengundi di Seri Kandis malam ini sebagai penutup kempen dengan ceramah beberapa pimpinan tertinggi Umno-BN.

 

5.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 0.0