Malaysia Dateline

Umur belia Johor kekal 15-40 tahun, kata Dr Sahruddin

Kerajaan negeri Johor mengambil keputusan mengekalkan had umur belia di negeri antara 15 tahun hingga 40 tahun bagi memastikan pelan perancangan yang telah dirangka, khususnya melibatkan belia, tidak terbantut.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata kerajaan negeri menghormati pandangan dan keputusan Kerajaan Persekutuan dalam membuat keputusan pelaksanaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 688), yang mana RUU itu antara lain telah menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

“Johor masih mentakrifkan definisi belia dari umur 15 hingga 40 tahun. Pada umur 40 tahun, mereka merupakan kelompok yang strategik untuk membina karakter kepimpinan dalam berjuang dan mempertengahkan isu-isu semasa yang berbangkit,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Dr Sahruddin, ini seiring dengan semarak cita-cita melalui penonjolan idealisme, aktivisme dan intelektualisme yang merupakan ciri serta citra orang muda.

“Malah, pada peringkat umur ini, literasi politik mereka juga stabil, selain merupakan masa yang sesuai untuk membentuk mereka menjadi pemimpin pelapis masa hadapan,” kata beliau.

Selain itu, kebanyakan dana bantuan yang diperkenalkan kerajaan mengguna pakai had umur 18 hingga 40 tahun.

“Pada masa ini juga golongan belia yang berusia 30 tahun hingga 40 tahun masih aktif menyertai pelbagai program, termasuk program-program aktiviti luar, antaranya aktiviti sukan. Maka Johor merasakan had umur belia 40 tahun dikekalkan adalah wajar,” kata Menteri Besar.

Pada 3 Julai lepas, persidangan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 688), yang bertujuan antaranya menurunkan had umur dalam takrif belia daripada 40 kepada 30 tahun.

Rang undang-undang berkenaan juga mengadakan peruntukan bagi had umur minimum dan maksimum seseorang pemegang jawatan suatu pertubuhan belia berdaftar, dengan tidak kurang daripada 18 tahun serta tidak lebih 30 tahun pada tarikh pelantikannya.- BERNAMA