Malaysia Dateline

Umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun, sejauh mana persediaannya

Mohd Sofi Abdul Wahab

ULASAN: Merujuk kepada laporan akhbar yang menyebut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun memaklumkan, usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Julai ini.

Apabila cadangan ini awal dibahaskan sebelum ini sudah wujud pro dan kontra tentang cadangan tersebut. Pelbagai hujah yang menyokong dan tidak menyokong diberikan oleh semua pihak sama ada parti politik, badan-badan akademik dan badan bukan kerajaan sehinggalah orang-orang persendirian.

Saya berpandangan pelbagai aspek perlu dilihat dari sudut persediaan pelaksanaan cadangan ini dan impak jika cadangan ini dibawa ke Dewan Rakyat lalu diluluskan. Antara persoalan yang perlu dibangkitkan sejauh mana persediaan pihak-pihak tertentu seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memberi jaminan golongan belia berumur 18 tahun sudah mampu berfikiran matang untuk memilih pilihan parti politik dalam pilihan raya.

Dari sudut pandang saya, saya masih melihat golongan belia seawal umur 18 tahun ini sebahagian besarnya masih belum terbentuk pemikiran yang benar-benar matang. Dalam masa yang sama mereka ini lebih terdedah kepada maklumat-maklumat yang separuh masak atau tidak jelas.

Akibat daripada ketidakjelasan maklumat yang diperolehi ini bagi saya masih tidak mampu untuk memilih di dalam pilihan raya dengan matang. Kemungkinan besar meraka ini hanya akan memilih berdasarkan sentimen-sentimen yang dimainkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab dan akhirny membuat kesilapan dalam memilih.

Dalam masa yang sama, golongan belia ini juga masih ada yang tidak mengerti dan faham fungsi pilihan raya itu dijalankan sendiri. Wujud anggapan pilihan raya itu sekadar proses memangkah kertas dan buang undi semata-mata tanpa melihat kepentingan proses pilihan raya itu secara mendalam yang merupakan salah satu asas di dalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini.

Dari sudut positifnya tidaklah dinafikan wujudnya kesan baik jika berjaya dilaksanakan penurunan kelayakan umur pengundi ini. Impak positifnya yang mungkin berlaku adalah seperti pendedahan awal kepada golongan belia tentang perjalanan pilihan raya di negara ini. Selain itu antara kesan baik juga adalah golongan belia bebas menyampaikan aspirasi mereka seawal 18 tahun melalui proses pilihan raya.

Walau bagaimanapun, kesimpulannya saya bersetuju pelaksanaan had umur mengundi bermula 18 tahun dengan syarat telah ada persedian lengkap oleh pihak-pihak berkaitan seperti pendidikan politik yang cukup kepada golongan belia bermula di peringkat persekolahan untuk melahirkan bakal pengundi yang matang dan rasional.

Selain itu, saya melihat golongan belia yang masih tidak mendaftar sebagai pengundi sendiri masih dalam keadaan yang sangat membimbangkan apabila Pengerusi SPR sendiri mengatakan sehingga suku pertama tahun ini, seramai 3.8 juta belia yang layak mengundi tetapi masih belum mendaftar sebagai pengundi di seluruh negara.

Adalah lebih baik dilaksanakan sistem auto daftar atau semua belia warganegara yang sudah mencapai umur layak mengundi secara automatik layak mengundi tanpa perlu mendaftar secara manual. Hal ini sudah banyak negara-negara maju laksanakan dan boleh kita jadikan contoh.

* Mohd Sofi Abdul Wahab adalah Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam serta Timbalan Pengerusi AMANAH Negeri Melaka.