Umur sudah mencecah 52 tahun, Hans Isaac tiada ‘mood’ cari teman wanita

Oleh WAN SITI AMINAH

Pengarah dan pelakon sensasi, Datuk Hans Isaac mengaku dirinya berdepan dengan detik sukar dalam mencari wanita yang serasi untuk dijadikan isteri.

Sikapnya kini yang lebih suka terperap di rumah selepas pulang bekerja turut menjadi faktor penyumbang mengapa lelaki berusia 52 tahun itu masih belum bertemu jodoh.

Lebih menyukarkan keadaan, kebanyakan wanita yang sebaya dengan pemilik nama sebenar Gerald Hans Isaac itu selalunya sudah memiliki pasangan atau berkahwin.

Manakala gadis yang lebih muda pula disifatkan bintang filem Persona Non Grata itu sebagai sulit dalam mencari keserasian kerana perbezaan usia, lapor Harian Metro.

“Justeru itu, lebih baik saya tunggu wanita yang tepat daripada mengambil risiko yang akan mendatangkan masalah dalam kehidupan pada masa hadapan.

“Kalau ada pasangan (wanita) yang datang dalam hidup saya selepas ini, saya mahu dia terima keadaan hidup saya sekarang. 

“Saya juga seorang yang sangat berbeza kini dan lebih senang untuk terima kebaikan dan keburukan seseorang atau masa silamnya,” kata Hans memetik laporan Harian Metro.

Hans yang juga Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) itu tidak menafikan bahawa dirinya sangat cerewet dalam urusan mencari pasangan pada usia lingkungan 20-an.

Mengaku sudah berubah, pengarah filem komedi Cuci itu bagaimanapun sudah tiada ‘mood’ untuk mencari teman wanita ataupun bercinta seperti zaman muda dahulu.

“Kalau saya sudah jumpa seorang wanita yang tepat dan boleh dijadikan sebagai teman hidup serta ibu kepada anak-anak saya kelak, saya akan terus kahwin sahaja.

“Saya pun tak percaya diri masih bujang lagi. Tetapi sekarang usia lebih matang dan juga lebih relaks. Cuma masalahnya, saya tidak buka ruang untuk orang kenali diri.

“Atau, mungkin saya sudah tutup diri saya untuk orang kenal.” Jelas Hans yang dulu pernah digosipkan bercinta dengan usahawan selebriti sensasi iaitu Noor Neelofa.

Baca juga: Tips goreng ikan tidak melekat, pastikan kuali betul-betul panas dan jangan lupa letak bahan ini