Malaysia Dateline

UMW akan muktamadkan langkah keluar daripada sektor gas dan minyak

UMW Holdings Bhd mengumumkan penggulungan tiga lagi anak syarikatnya yang tidak tersenarai di bawah segmen minyak dan gas.

Anak syarikat berkenaan ialah Arabian Drilling Services LLC, UMW Middle East Ventures Holdings WLL dan UMW Oil & Gas Bhd.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Badrul Feisal Abdul Rahim berkata langkah itu selaras dengan perancangan strategik UMW untuk keluar daripada pelaburannya dalam segmen minyak dan gas yang tidak tersenarai, dan usaha kumpulan bagi memuktamadkan langkah keluar sepenuhnya daripada sektor itu mencapai kemajuan signifikan dan berjalan lancar.

“Berikutan iitu, kami akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif strategik untuk momentum keuntungan lebih baik, dengan penekanan terhadap pengkukuhan perniagaan teras kami yang berkembang pesat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, UMW melaksanakan penggulungan sukarela empat anak syarikatnya iaitu UMW Coating Technologies (Tianjin) Co Ltd, PFP (Shenzhen) Piping Materials Co Ltd, UMW China Ventures (L) Ltd dan UMW Offshore Investment (L) Ltd.

Untuk masa hadapan, UMW akan menumpukan pada pertumbuhan jangka panjang menerusi peluasan dan inovasi membabitkan semua portfolionya, diseimbangkan dengan pendekatan berdisiplin terhadap pelaburan modal.

— BERNAMA