Malaysia Dateline

Undang-undang larangan lompat parti berkuat kuasa esok

Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat melompat dan bertukar parti, akan berkuat kuasa bermula esok (Rabu).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan, ia selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan tarikh 5 Oktober untuk kuat kuasa akta tersebut.

Justeru itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, aktiviti lompat parti dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen tidak lagi boleh dilakukan.

Sekiranya mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti pada atau selepas tarikh terbabit, akan hilang kelayakannya sebagai Ahli Parlimen.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga sudah perkenan tarikh kuat kuasa Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 pada 5 Oktober 2022 selaras dengan seksyen 1(2) dan seksyen 1(3) Akta A1663,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, dengan penetapan tarikh baharu kuat kuasa bagi Akta A1663 mulai esok, pindaan bagi seksyen 7A Jadual Kelapan, Fasal 6 Perkara 48, Perkara 160 dan Fasal baharu 3A Perkara 10 serta Perkara baharu 49A, dapat dikuatkuasakan dengan segera.

Ditanya mengenai pelaksanaan undang-undang terbabit di peringkat negeri, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akan mengutuskan surat kepada semua kerajaan negeri meminta mereka menyelaras dan menggunapakai pindaan yang sudah digubal.

“Jadual ini adalah untuk menyelaraskan penggunaan konsep ahli berpindah parti di negeri-negeri yang boleh dipakai kepada ADUN mereka.

“Kita mahu undang-undang itu diselaraskan supaya mudah peruntukan di semua negeri adalah sama kerana kita tidak mahu ada negeri lain yang berbeza,” ujarnya.

Baca juga: Budak 11 tahun jadi saksi mak ayah dipijak sampai tak bernyawa ketika orang ramai lari dari gas pemedih mata