Malaysia Dateline

Zuraidah Kamaruddin

Undang-undang lebih tegas terhadap penyebar kebencian kaum, cadang Zuraida

 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin memaklumkan, beliau akan mencadangkan kepada pihak kerajaan agar membuat satu undang-undang yang lebih tegas dan keras terhadap pesalah perkauman dan penyebar kebencian.

Beliau berkata, sudah tiba masanya komitmen dan keseriusan pihak kerajaan bagi menangani hal yang membahayakan ini diperkukuhkan, sekali gus bersama-sama membangun tanpa rasa curiga.

“Daripada pemerhatian saya kebelakangan ini, seolah-olah ada usaha terancang yang amat ketara bagi menyalakan api perkauman dalam negara kita.

“Kegusaran saya akan perkara ini tidak terbendung lagi, kerana saya khuatir bahawa isu perkauman dan sentimen keagamaan ini jika tidak dikawal, akan merebak ke satu tahap yang mengakibatkan kebencian dan seterusnya boleh memusnahkan negara.

“Hakikatnya, negara ini terbina daripada keringat dan usaha pelbagai kaum semenjak Merdeka tidak boleh dinafikan sesiapa. Malah kemerdekaan itu digenggam hasil perjanjian dan idealisme pemimpin terdahulu bahawa negara ini mengiktiraf pelbagai bangsa dan agama sebagai warganya.

“Marilah kita berpegang kepada realiti ini dan bebaskanlah jiwa kita dari belenggu sempit dalam naratif perkauman lapuk yang menjadikan pembelaan kaum sebagai alasan untuk kita saling mencurigai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Zuraida yang juga merupakan Ahli Parlimen Ampang turut memaklumkan, usaha ke arah integrasi rakyat dalam portfolio perumahan telah berjalan dan kian ia giat dilaksanakan.

Katanya, beliau amat serius dalam memastikan setiap kawasan perumahan yang dibina menitik beratkan pembangunan komuniti, termasuk pembangunan fizikal dan juga aktiviti kemasyarakatan yang termaktub dalam Dasar Komuniti Negara dan Dasar Perumahan Negara.

“Kini kita dapat saksikan bagaimana rakyat Malaysia dapat duduk bersama dalam sebuah komuniti yang berbilang bangsa dan latar belakang, tidak berasing-asingan dalam pembangunan negara.

“Pentadbiran kerajaan lalu yang mentadbir dengan bergayut pada dahan perkauman yang rapuh itu wajar kita lempar jauh. Buang segala hipokrasi yang menyebut perpaduan di mulut, tetapi daki perkauman masih menebal di dada.

“Jika kita tertanya-tanya mengapa begitu payah kita mahu bersaing dengan negara tetangga dalam keadaan mereka yang dahulunya ketinggalan daripada kita, jawapannya ialah ketika mereka melonjak ke awan memeluk demokrasi tulin, kita semakin tenggelam diberatkan oleh rantai perkauman,” katanya lagi dalam kenyataan tersebut.