Malaysia Dateline

Undi 18: 125,000 anak muda dapat hak mengundi PRN Sarawak nanti

Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuching hari ini yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan pindaan Undi18 sebelum 31 Disember ini.

Menurut Timbalan Pengerusi AMANAH Sarawak, Hud Andri Zulkarnaen, mahkamah turut mengeluarkan perintah untuk membatalkan keputusan Kerajaan Persekutuan bahawa pindaan Undi18 hanya boleh dilaksanakan menjelang September 2022.

Katanya, sebelum ini pada Mei lalu lima anak muda Sarawak yang berusia 19 hingga 20 tahun telah memfailkan permohonan bagi membatalkan keputusan kerajaan ketika itu tidak melaksanakan pindaan Undi18 Julai lepas.

“Dengan keputusan tersebut, ini bermakna golongan belia Malaysia terutamanya di negeri Sarawak akan mendapatkan hak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 nanti yang mana dijangka seramai 125,000 hingga 135,000 pengundi muda berpeluang mengundi.

“Maka, dengan ini AMANAH Sarawak menggesa supaya Perdana Menteri Dato’ Ismail Sabri dan Peguam Negara Tan Sti Idrus Azizan Harun untuk tidak mengemukakan sebarang rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi,” jelasnya.

” Keputusan ini juga telah membuktikan para pengundi muda mencipta sejarah kerana ia merupakan pindaan Perlembagaan pertama yang sebenarnya mengembalikan hak mengundi kepada golongan belia yang telah dipersetujui oleh semua parti politik.

“Semoga dengan ini golongan belia akan menjadi penentu kepada kepimpinan dan pembentukan kerajaan akan datang,” ujar Hud Andri.