Undi 18 beri kelebihan pada PH dan pembangkang, kata penganalisis politik

Undi 18 beri kelebihan pada PH dan pembangkang, kata penganalisis politik

Penurunan had kelayakan umur mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun dilihat akan lebih memberi kesan positif berbentuk sokongan anak muda kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang.

Penganalisis politik, Azmi Hassan berkata, PRU14 lalu jelas membuktikan sokongan pengundi muda di bawah 40 tahun yang memihak kepada PH dan keputusan itu mensahihkan kebenaran jangkaan tersebut.

“Sebagai kerajaan yang memerintah, PH mempunyai kelebihan untuk menarik pengundi baharu kerana mampu melaksanakan dasar untuk anak muda memandangkan PRU-15 masih jauh,” katanya.

Azmi Hassan

Namun katanya, senario dimana anak muda tidak merasa teragak-agak menyokong program Umno-Pas jelas tidak boleh diketepikan manfaat yang juga bakal dimiliki oleh pihak pembangkang.

“Dengan mengambil kira perubahan citarasa pengundi termasuk golongan muda di antara 18 hingga 21 tahun, maka boleh diandaikan manfaat perubahan had umur pengundi akan diperolehi oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang, cuma tidak diketahui jumlah peratusannya.

“Tetapi senario politik pasca PRU14 telah berubah dengan drastik dimana tinjauan keyakinan terhadap satu tahun pemerintahan PH, jelas mempamirkan pengundi dan anak muda mula hilang keyakinan terhadap kerajaan PH.

“Pada masa yang sama, populariti pembangkang terutama melalui mekanisme kerjasama Umno dan Pas telah melonjak tanpa dijangka,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Tidak membebani KBS

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab menarik pengundi muda melalui Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) semata-mata, sebaliknya perlu menggunakan tenaga setiap kementerian untuk menarik undi golongan itu.

Malah menurutnya, penglibatan anak muda di dalam media sosial yang membincangkan hal politik adalah begitu aktif tetapi tidak memberi jaminan mereka akan keluar mengundi.

“Proses pendaftaran pengundi secara automatik adalah satu kaedah untuk paksa anak muda keluar mengundi. Tetapi tidak jamin akan keluar dalam peratus yang tinggi selagi tiada penalti dikenakan kepada mereka yang layak mengundi tetapi tidak keluar mengundi.

“Program Sekolah Rukun Negara (SRN) di bawah KBS sememangnya perlu diperbanyakkan lagi. Program SRN adalah antara kaedah yang diperlukan untuk menyedarkan anak muda tentang tanggungjawab mereka sebagai pengundi,”ujarnya.

Sementara itu, Azmi menyifatkan ketidakpuasan hati golongan muda terhadap isu kebajikan mereka sedikit sebanyak mampu mendorong golongan itu untuk keluar mengundi.

“Jika anak muda merasa selesa dengan kehidupan mereka, besar kemungkinan tekanan untuk keluar mengundi adalah minimum.

“Tapi jika mereka merasa tidak puas hati seperti sukar dapat pekerjaan sesuai atau pinjaman pendidikan membebankan, maka besar kemungkinan isu seperti ini boleh dorong mereka keluar mengundi,” katanya.

Baca: Gejala ‘youth populism’