Malaysia Dateline

Undi 18 : Bersediakah kita?

Mengikut data yang dikeluarkan,seramai 7.8 juta pengundi baru yang akan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Pilihanraya yang akan datang setelah pendaftaran pemilih secara automatik mula dikuatkuasakan.

Persoalannya disini,adakah kita bersedia dan siapa yang patut bersedia? Anak muda atau pemimpin? Sebelum kita huraikan dengan lebih lanjut, ayuh kita semak kembali bagaimana Undi18 mula diketengahkan.

Undi18 merujuk kepada pengundi yang berumur 18 tahun setelah syarat kelayakan mengundi telah dipinda dari umur 21 tahun kepada 18 tahun. Perubahan atau pembaharuan ini telah diutarakan oleh Pakatan Harapan sejajar dengan manifesto mereka semasa PRU14 yang lalu.

Pada 16 Julai 2019 yang lalu, Rang Undang-Undang (RUU) perlembgaan pindaan perkara 119(1) telah diluluskan oleh majoriti ahli Dewan Rakyat serta turut mendapat kelulusan di Dewan Negara pada 25 Julai 2019.

Dengan kelulusan dan sokongan majoriti yang telah diperolehi,maka pindaan RUU ini telah diwartakan dan mengikut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) mendiang Liew Vui Keong, sepatutnya RUU ini mula berkuatkuasa pada bulan April 2021.

Penurunan kadar had umur mengundi ini merupakan satu pembaharuan yang besar dalam konteks sejarah negara ini. Terdapat juga negara yang lebih awal memberikan hak mengundi kepada anak muda seperti Amerika Syarikat dan German (18 tahun), Argentina dan Brazil (16 tahun) dan jiran serumpun kita Indonesia (17 tahun).

Undi 18 ini akan memberi peluang kepada anak muda untuk turut terlibat dalam menentukan dasar dan pembangunan negara serta merancakkan demokrasi negara.

Namun, terdapat ura-ura yang mengatakan penurunan had umur mengundi ini telah dilakukan secara tergesa-gesa dan bermotifkan politik. Pada pendapat penulis sendiri, undi18 ini merupakan satu pembaharuan yang baik buat Malaysia kerana setelah kita hidup dalam zaman teknologi digital, ramai anak muda yang mula membicarakan tentang hala tuju negara seperti kumpulan mahasiswa dan pelajar sekolah menengah.

Dunia pendigitalan telah melahirkan dunia tanpa sempadan yang memberi kemudahan kepada anak-anak muda dan orang ramai memperoleh maklumat dihujung jari dengan kadar masa yang cukup singkat.

Persediaan dan kesedaran awal tentang politik kepada anak muda perlulah dimulakan sejak awal iaitu diperingkat sekolah supaya mereka tidak mudah dipermainkan dan dipergunakan oleh kelompok-kelompok tertentu yang mempunyai kepentingan politik.

Ibubapa dan para pendidik haruslah menerangkan kepada anak-anak muda tentang kepentingan mengundi lantad menunaikan tanggungjawab yang besar sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi semasa Pilihanraya diadakan.

Anak muda yang merupakan generasi pimpinan negara pada masa hadapan perlulah membuat pilihan yang bijak dengan memilih kerajaan untuk memimpin yang mempunyai idea dan dasar yang terbaik untuk negara terutama sekali melibatkan kehidupan anak muda.

Jangah mudah terpedaya dengan sekelompok parti yang menggunakan sentimen tertentu untuk meraih sokongan anak muda sehingga menyebabkan berlakunya perbalahan dan perpecahan ranyat Malaysia.

Kerajaan harus menunjukkan keberanian mereka dalam melakukan perubahan. Mungkin ada segelintir daripada kita tidak yakin dengan perubahan ini,tetapi ingatlah bahawa empayar rom tidak terbina dalam masa satu hari.


Penulis adalah pembaca Malaysia Dataline dan aktivis NGO.