Undi 18: Bukti kerajaan serius merealisasikan ‘Janji 17’ Buku Harapan, kata Mahathir

Undi 18: Bukti kerajaan serius merealisasikan ‘Janji 17’ Buku Harapan, kata Mahathir

 

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menjelaskan, pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 adalah bukti Kerajaan Pakatan Harapan (PH) serius dalam merealisasikan Janji 17 dalam Buku Harapan.

Janji 17 itu adalah ‘menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran secara automatik berdasarkan daftar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)’.

Dr Mahathir berkata, berdasarkan perbahasan oleh ahli-ahli Parlimen hari ini, didapati kebanyakan mereka agak teruja dengan pelaksanaan pindaan-pindaan ini, namun ada juga menyatakan kebimbangan berkaitan tempoh pelaksanaannya.

“Tempoh pelaksanaan ini perlu dipertimbangkan kerana ianya akan menentukan hala tuju demokrasi negara.

“Penelitian kepada pelaksanaan ini adalah wajar, bagi mengambil kira segenap aspek kebajikan bakal-bakal pengundi diberi keutamaan dan bukannya untuk memberi ruang kepada apa-apa agenda politik.

“Agensi-agensi pelaksana yang terlibat secara langsung sewajarnya diberi peluang dan ruang untuk membuat persediaan teratur dari segi integrasi data antara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Penjara Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan lain-lain agensi yang berkaitan.

“Harus diingat dengan pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik ini akan menyebabkan anggaran seramai 7.8 juta pengundi-pengundi baharu akan didaftarkan sebagai pemilih dalam Daftar Pemilih untuk tempoh 5 tahun akan datang,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019, di Dewan Rakyat hari ini.

Menjelaskan dengan lebih lanjut berhubung pendaftaran pengundi, Ahli Parlimen Langkawi itu menyifatkan ia bukanlah tugas yang mudah kerana melibatkan kos, masa, penetapan lokaliti dan bahagian pilihan raya yang betul.

“Dalam melaksanakan perkara ini, Kerajaan tidak boleh bertolak ansur dengan apa-apa kesilapan kepada Daftar Pemilih, kerana ia melibatkan hak setiap warganegara yang layak mengundi seperti mana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Adalah menjadi hasrat Kerajaan agar RUU (Pindaan) 2019 yang dibentangkan ini difahami dan dihayati dengan mendalam oleh semua pihak.

“Ini adalah untuk memastikan hasrat kepada pindaan ini dapat diterjemahkan sepenuhnya demi menyuburkan demokrasi negara seterusnya meletakkan Malaysia setara dengan negara-negara maju lain yang telah lama berbuat demikian,” katanya.